Mohon tunggu...
Ibnu Din Assingkiri
Ibnu Din Assingkiri Mohon Tunggu... Trainer -

Ibnu Din Assingkiri ialah nama pena penulis Sanusi bin Din. Beliau dilahirkan di Singkir Laut, Yan, Kedah pada 4 Mei 1970. Beliau merupakan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Beliau cenderung menulis puisi, cerpen dan apresiasi puisi. Beliau menulis sejak di sekolah menengah dan telah menghasilkan dua naskah kumpulan puisi serta senaskah kumpulan cerpen. Selain menulis di tanah air tercinta, beliau ikut bergabung dengan penulis se Nusantara dan telah membukukan tiga belas antologi bersama. Beliau adalah graduan Sarjana Muda Pengajian Inggeris Dengan Kepujian di UNITEM (OUM). Beliau berkhidmat sebagai Eksekutif Kanan Latihan dan Perkembangan Sumber Manusia di syarikat multinasional swasta.

Selanjutnya

Tutup

Fiksiana

Apresiasi Seorang Penikmat: Sajak KURNIA, karya Mansor A. Hamid

10 Juli 2015   08:58 Diperbarui: 10 Juli 2015   08:58 108
+
Laporkan Konten
Laporkan Akun
Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.
Lihat foto
Fiksiana. Sumber ilustrasi: PEXELS/Dzenina Lukac

Oleh: Ibnu Din Assingkiri

 

Kata orang apresiasi karya tulis lebih sempurna dilakukan jika pengapresiasi berpeluang mengenali pengkarya secara lebih dekat. Saya bersetuju dengan pandangan ini. Selain tanggal tulis dan tempat karya ditulis diketahui, mengenali pengkarya secara dekat memang sangat-sangat membantu dalam apresiasi karya teristimewa sekali karya sajak dan puisi lainnya.

Saya merasa bertuah kerana berkesempatan mengenali sosok penulis yang berbakat dari Langgar, Alor Setar, Kedah ini. Setelah mengunjungi teratak inspirasi beliau dan bertemu di majlis lain saya dapati beliau seorang yang merendah diri, mudah tersenyum, namun berhati-hati dalam mengeluarkan buah bicara. Beliau adalah pendengar yang aktif dan jurubual yang lebih banyak mendengar.

Sejarah penulisan beliau sudah begitu lama akan tetapi di masa muda, beliau tidak menerbitkan karya. Namun begitu semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menerbitkan karya di portal eSastera.com. Beliau juga merupakan salah seorang pengkarya prolifik di eSastera mutakhir ini.

Secara umum tema penulisan beliau menjurus kepada pengalaman kehidupan seharian seorang pesara, suami, bapa, datuk dan anggota masyarakat yang prihatin terhadap perkembangan sosial dan politik tanahair.  Beliau merupakan penulis yang bijak melakar memori dengan gaya bahasa serta personifikasi yang boleh meruntun jiwa penikmat jika mampu menyelami ke dasar sajak-sajaknya. Beliau juga berkebolehan menggubah bahasa biasa menjadi adunan luarbiasa dan memberi impak yang kuat.


Pada kali ini saya ingin mengapresiasi sebuah sajak beliau yang berjudul KURNIA. Sajak ini diterbitkan pada Ahad, 24 Februari 2013, pukul 10:11 pagi waktu Malaysia. Sajak ini juga ditulis pada tanggal sama. Berikut adalah teks penuh sajak:

 

KURNIA

 

Rambutnya terurai lembut beralun

di hujung kepala

melandai bantal tidurku terbawa jauh

wangi-wangi rindu semesra lalu

terbang di langit waktu

 

namun, aku seperti burung malam

dikejut siulan angin

terbuai sarang pada dahan

di langit sunyi gumpalan awan

nyenyak diarak perlahan

 

aku terleka pada imbas rambutnya

lelap bermata sayu

terlukis senyum bibirnya

seperti mencetus pesan damai

ke alam malam

 

jadilah aku perantau piatu

meneroka sunyi yang panjang

di sisi  berbisik bersyukur

membekal detik nafas berlalu

ke arah senyap tertentu

 

tidak sesedar aku

subuh tiba di sudut bilik

sekujur tubuhnya berbalut telekung

putih bersih bersimpuh tertib

bayang rambutnya terpadam di bantal

 

aku bersyukur menyambut hari baru

atas kurnia Nya

menyempurna waktu yang lima

merangkaklah usia ke usia

pada ketentuan Nya jua...

 

mansor a hamid

24/02/13, Langgar,  Alor Setar

 

Saya mengapresiasi sajak ini dari perspektif seorang penikmat. Walaupun agak santai, saya akan cuba menyentuh empat perkara pokok yang selalu kita dasari semasa memberi apresiasi iaitu tema, perasaan, nada dan amanat.

 

Tema

Pada pendapat saya tema sajak ini lebih kepada tema ketuhanan dibandingkan dengan tema perkasihan. Namun begitu terdapat juga hal-hal perkasihan antara manusia yang disebutkan didalam sajak ini. Judulnya KURNIA yang dihurufbesarkan adalah poin penguat di mana kurnia itu begitu besar dari Tuhan yang Maha Pemberi Kurnia. Di judul sudah terdapat unsur ketuhanan atau religiusnya. Bait akhir ini saya jadikan ukuran tema:

 

“aku bersyukur menyambut hari baru

atas kurnia Nya

menyempurna waktu yang lima

merangkaklah usia ke usia

pada ketentuan Nya jua...”

 

Tokoh dalam puisi “aku” merasa bersyukur kerana dianugerahkan hari baru, yakni dipanjangkan usia lebih sehari lagi. “Aku” juga bersyukur kerana masih boleh terus menunaikan ibadah yang merupakan tiang agama iaitu solat wajib lima kali sehari. Baris seterusnya memuatkan kata, “merangkaklah usia ke usia / pada ketentuan Nya jua...” Di sini “Aku” merendahkan dirinya sebagai hamba yang soleh, taat dan patuh kepada Tuhan Maha Penentu akan sehingga mana usianya berganjak. “Aku” juga pasrah pada ketentuan ajal; hanya berada di tangan-Nya.

 

Perasaan

Perasaan yang cuba disampaikan oleh penulis ialah rasa rendah diri dan bersyukur kepada kurnia Tuhan yang sangat banyak. Perasaan cinta kepada teman hidupnya melahirkan cinta lebih kuat kepada Tuhan dan menjadikannya lebih dekat dan lebih mengagumi akan kekuasaan Tuhan. Namun penulis meletakkan lapis-lapis krim manis di antara kek sajaknya dengan romantika kamar tidur yang merupakan perlambangan akan kehidupan berumahtangga bahagia dan telah lama ditelusuri bersama pasangan hidup. Ini dapat saya tangkap dalam bait yang pertama:

 

“Rambutnya terurai lembut beralun

di hujung kepala

melandai bantal tidurku terbawa jauh

wangi-wangi rindu semesra lalu

terbang di langit waktu”

 

Secara fizik jika rambut lembut terurai beralun itu adalah lambang kecantikan wanita yang sudah tentunya merupakan kejadian Tuhan Maha Indah. Di sini perasaan istimewa itu selalu berulang bilamana keindahan itu yang diwakili perlambangan rambut terurai lembut mengenai bantal tidur “Aku” semestinya terasa nyaman dan harum dalam aroma cinta. Rasa rendah diri dan bersyukur atas kurnia Tuhan yang mengirim seorang isteri ‘wangi-rindu’ menghiasi langit waktu-satu jeda yang panjang. Bukankah kebahagiaan seorang suami itu bila mahligai cintanya dijaga oleh isteri sebanding bidadari? Apabila “Aku” memandang isteri dan mengenang kebahagiaan berumahtangga, maka dia akan rasa bersyukur atas kurnia yang Maha Esa.

 

Nada

Nada sajak ini tidak selugas pilihan katanya. Saya dapati sajak ini bernada lembut dan begitulah nada untuk menyampaikan rasa rendah diri dan bersyukur. Di tangan penulis, pilihan kata-kata sederhana dan biasa ini tidak perlu diikat dengan rima untuk menghasilkan kelembutan. Walaupun sajak ini berbentuk bebas namun diksinya tertib digubah dan dituang ke dalam pola yang lembut. Bait ke empat menyerlahkan  kebijakan penulis dalam meniupkan kelembutan nada bersesuaian tema:

 

“jadilah aku perantau piatu

meneroka sunyi yang panjang

di sisi  berbisik bersyukur

membekal detik nafas berlalu

ke arah senyap tertentu”

 

Pada bait ini, kata “jadilah aku perantau piatu / meneroka sunyi yang panjang” adalah selembut nada yang bisa meruntun perasaan simpati yang menohok ke jantung rasa para pembaca. Nada yang dipilih bersesuaian sekali dengan tema sajak ini dan mungkin juga merupakan peribadi penulis sendiri yang lembut bicaranya.

 

Amanat

Saya menyimpulkan amanat yang cuba disampaikan oleh penulis ialah sebagai hamba-Nya kita harus bersyukur di atas kurnia-Nya yang tak terkira banyak. Anugerah usia yang panjang memberi kita peluang untuk terus beribadah dan menimba ilmu. Anugerah pasangan hidup tempat tertumpahnya kasih dan cinta merupakan inayat-Nya.  Pada bait kedua ini penulis juga menggambarkan suasana tidurnya yang nyenyak juga sebagai satu anugerah yang harus disyukuri:

 

“namun, aku seperti burung malam

dikejut siulan angin

terbuai sarang pada dahan

di langit sunyi gumpalan awan

nyenyak diarak perlahan”

 

Kata, “terbuai sarang pada dahan / di langit sunyi gumpalan awan” di sini penulis menggambarkan ketenangan seperti seekor burung yang terbuai dalam sarang di dahan awan. Puitis sekali diksi ini. Ketenangan kala tidur juga merupakan anugerah-Nya yang patut disyukuri. Pada bait ke lima terserlah amanat rendah diri dan bersyukur kepada Tuhan:

 

“tidak sesedar aku

subuh tiba di sudut bilik

sekujur tubuhnya berbalut telekung

putih bersih bersimpuh tertib

bayang rambutnya terpadam di bantal”

 

Hanyut dalam lena yang nyenyak, “Aku” terjaga dan setelah membuka mata mendapati isterinya telahpun usai/sedang solat subuh. Kedudukan bersimpuh tertib dalam solat ataupun berdoa adalah tanda tawadduk kepada-Nya. Pasangan yang solehah adalah untuk suami yang soleh. Solat merupakan kewajipan dan tanda kesyukuran serta rendah diri yakni sujud kepada Tuhan. Amanat terbesar sajak ini adalah kewajipan kita sebagai hamba yang bersyukur dan menunaikan solat. Dengan bersolat kita bersujud merendahkan diri (tidak sombong) dan tidak kufur nikmat yang diberi.

 

Penutup

Mansor A. Hamid telah melaksanakan tugas pentingnya dalam penulisan sajak, iaitu mengajak ke arah kebaikan. Pola penulisan beliau sederhana namun berjaya memberi impak besar dan juga membawa amanat besar. Penulisan beliau adalah pengalaman peribadi yang dilakarkan dengan jayanya di kanvas sajak. Walaupun merupakan seorang yang senior dari kiraan umur, tidak ada satupun karya beliau didaktik menggurui pembaca. Seperti percakapannya yang lembut dan merendah diri, penulisan beliau juga sedemikian rupa.

HALAMAN :
  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
  5. 5
  6. 6
  7. 7
  8. 8
  9. 9
  10. 10
Mohon tunggu...

Lihat Konten Fiksiana Selengkapnya
Lihat Fiksiana Selengkapnya
Beri Komentar
Berkomentarlah secara bijaksana dan bertanggung jawab. Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE

Belum ada komentar. Jadilah yang pertama untuk memberikan komentar!
LAPORKAN KONTEN
Alasan
Laporkan Konten
Laporkan Akun