Pemilihan muzik yang telah popular dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai muzik tari dalam Nuansa Zapin 3.0 memperlihatkan bagaimana zapin semakin melebarkan dirinya ke dalam suatu ranah baharu yang lebih terbuka dan dinamik. Penggabungan muzik ini bukan sahaja mengekalkan zapin sebagai simbol identiti tradisional Melayu, tetapi juga menegaskan fungsinya sebagai representasi budaya Melayu dalam era pascamoden. Dalam konteks ini, teori hibriditi yang dikemukakan oleh Homi Bhabha menjadi relevan kerana hibriditi dalam seni bukan sekadar percampuran unsur-unsur budaya, tetapi satu proses yang membentuk ruang perantara (third space), menghasilkan identiti baharu yang tidak lagi terikat secara mutlak kepada bentuk asal.
Dengan mengadaptasi muzik yang telah dikenali dan diterima oleh masyarakat, Nuansa Zapin 3.0 mencipta satu bentuk seni yang lebih inklusif, di mana batasan antara tradisional dan kontemporari menjadi semakin cair. Zapin tidak lagi bersifat statik dalam pola asalnya yang rigid, sebaliknya berkembang dengan lebih fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap budaya semasa. Dalam konteks pascamoden, di mana identiti sering kali bersifat cair dan tidak tetap, pendekatan ini menunjukkan bagaimana zapin berfungsi sebagai medium yang berdaya tahan dan mampu beradaptasi tanpa kehilangan akar budayanya.
Pendekatan ini turut membuktikan bahawa Kerol Mohtar bukan sahaja melenturkan zapin dari segi gerak tari, tetapi juga dalam aspek muzikalnya. Dengan membenarkan elemen-elemen muzik moden bergabung dengan ritma zapin tradisional, secara tidak langsung mengesahkan kedudukan zapin dalam ranah seni yang sentiasa mengalami transformasi. Hibriditi ini tidak hanya berlaku dalam aspek estetika, tetapi juga dalam penerimaan budaya, di mana khalayak yang mungkin tidak begitu mengenali zapin tradisional kini dapat menghayati dan menginterpretasi tarian ini dalam bentuk baharu yang lebih dekat dengan pengalaman mereka.
Dari perspektif performance studies, pendekatan ini bukan sekadar menghasilkan kesan estetika yang segar, tetapi juga menawarkan satu naratif baharu tentang bagaimana seni persembahan boleh menjadi medan pertemuan antara tradisi dan inovasi. Nuansa Zapin 3.0 membuktikan bahawa seni tradisional seperti zapin bukan sahaja mampu bertahan dalam dunia moden, tetapi juga dapat berkembang secara dinamik, menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman tanpa kehilangan keasliannya. Oleh itu, pemilihan muzik popular dalam konteks ini bukan sekadar strategi artistik, tetapi juga satu bentuk wacana budaya yang memperlihatkan bagaimana identiti Melayu dapat terus hidup dan berkembang dalam ruang pascamoden yang semakin kompleks dan pelbagai.
Dalam persembahan seni tradisional, termasuk zapin, struktur keseluruhan persembahan sering kali tidak dapat dikenal pasti dengan jelas. Pergantian antara satu tarian ke tarian yang lain tidak selalu mengikuti pola yang tegas atau linear, sebaliknya, ia berlaku dengan cara yang organik dan sering kali tidak disedari oleh pemain mahupun penonton. Dalam tradisi zapin, pertukaran ini boleh terjadi melalui jeda untuk minum, duduk berehat, atau bahkan meneruskan gerakan secara spontan. Selain itu, peristiwa-peristiwa tidak terduga seperti kehadiran tetamu kehormat, insiden penonton yang pengsan, atau individu yang tiba-tiba mengalami rasuk juga dapat menjadi titik transisi yang sah dalam struktur persembahan, menjadikan setiap elemen dalam ruang tontonan sebagai sebahagian daripada pengalaman persembahan itu sendiri.
Dalam Nuansa Zapin 3.0, Kerol Mohtar mengangkat fenomena ini ke dalam sebuah pengalaman yang lebih kompleks dengan memperkenalkan pelbagai tanda yang mengaburkan batas antara penonton dan persembahan. Permainan pencahayaan yang bergantian antara gelap dan terang di kawasan penonton bukan sekadar elemen teknikal, tetapi juga berfungsi sebagai tanda penyertaan, mengisyaratkan pelebaran ruang antara audiens dan persembahan. Selain itu, pemberian hadiah kepada penonton yang aktif berinteraksi menambah dimensi keterlibatan langsung dalam persembahan, menegaskan konsep bahawa mereka bukan sekadar pemerhati pasif tetapi turut membentuk naratif pementasan. Kehadiran pembawa acara yang berperanan lebih daripada sekadar pengantara, tetapi juga sebagai sebahagian daripada struktur dramatik persembahan, mengaburkan batas antara fungsi pengacara dan peranan aktor. Sementara itu, ulasan akademik mengenai sejarah dan asal-usul zapin turut dimasukkan, membentuk satu jaringan interaksi yang kompleks antara maklumat, hiburan, dan penyertaan khalayak.
Dalam konteks performance studies, pendekatan ini berhubungan erat dengan aksioma keempat dan kelima dalam environmental theatre. Â Aksioma keempat menekankan bahawa setiap unsur dalam ruang persembahan memiliki kepentingannya sendiri, di mana penonton bukan sekadar pemerhati tetapi turut terlibat secara aktif dalam membentuk pengalaman pementasan. Sementara itu, aksioma kelima menyatakan bahawa pengalaman persembahan tidak berstruktur secara linear tetapi berkembang dalam pelbagai dimensi yang saling berkaitan. Dalam Nuansa Zapin 3.0, struktur yang kelihatan cair dan sukar dikenal pasti pada hakikatnya merupakan struktur itu sendiri: sebuah mekanisme yang terbentuk daripada interaksi berterusan antara pemain, ruang, dan penonton.
Melalui pendekatan ini, Kerol Mohtar bukan sahaja menafsirkan semula zapin dalam bentuk moden tetapi juga menguji batasan antara tradisi dan inovasi. Pendekatan yang menggabungkan unsur-unsur tidak terduga ini memperlihatkan bahawa struktur persembahan bukanlah sesuatu yang harus dipaksakan dalam format yang kaku, sebaliknya ia berkembang melalui jaringan hubungan yang dinamik dan interaktif. Hal ini bukan sahaja memperlihatkan keterbukaan dalam struktur Nuansa Zapin 3.0, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Kerol Mohtar sebagai koreografer yang memahami dan menerapkan prinsip-prinsip performance studies dalam karyanya.
Akhirnya, Nuansa Zapin 3.0 bukanlah sebuah persembahan yang sempurna, kerana masih terdapat beberapa kelemahan seperti komposisi pergerakan yang berulang serta kematangan ekspresi tubuh penari yang belum sepenuhnya mencapai tahap optimum. Namun demikian, Kerol Mohtar telah menunjukkan suatu usaha yang signifikan dalam mencabar batasan konvensional zapin serta menerapkan prinsip performance studies sebagai landasan penciptaan karya.
Namun, untuk memastikan Nuansa Zapin 3.0 benar-benar mencapai tahap yang lebih tinggi di masa hadapan sebagai sebuah persembahan seni yang berlandaskan kajian dan kesedaran ilmiah kritis, ia perlu dihasilkan dengan pertimbangan yang lebih mendalam. Tidak cukup sekadar menjadikannya sebagai ekspresi insting artistik semata-mata, sebaliknya, perlu ada keseimbangan antara kreativiti dan kaedah penciptaan ilmiah dalam setiap aspek pengkaryaannya. Ini kerana seorang ilmuwan tari tidak hanya berperanan sebagai pencipta seni, tetapi juga sebagai penyelidik dan pengkarya yang menggabungkan ilmu pengetahuan, naluri artistik, serta pengalaman mendalam bagi memastikan karyanya relevan dan bermakna dalam konteks seni kontemporari serta warisan budaya semasa.
Malasysia, Syakban 2025.
Salman Faris, Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).