Mohon tunggu...
SALMAN FARIS
SALMAN FARIS Mohon Tunggu... Dosen

Karena sudah telanjur ada, maka mestinya tidak sekadar ada.

Selanjutnya

Tutup

Humaniora

Mencari Jejak Performance Studies dalam Nuansa Zapin 3.0 Karya Kerol Mohtar

16 Februari 2025   11:21 Diperbarui: 16 Februari 2025   11:21 467
+
Laporkan Konten
Laporkan Akun
Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.
Lihat foto
Poster Nuansa Zapin 3.0-Sumber: MATIC

MENCARI JEJAK PERFORMANCE STUDIES DALAM NUANSA ZAPIN 3.0 KARYA KEROL MOHTAR

Oleh: Salman Faris

Saya hadir dalam bingkai performance studies untuk menyaksikan persembahan Nuansa Zapin 3.0 karya Kerol Mohtar, terutamanya kerana karya ini dikaitkan dengan projek tahun akhir pelajar sarjana dalam program Pengajian Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI. Oleh itu, saya merasa perlu untuk meneroka jejak performance studies dalam Nuansa Zapin 3.0 secara teliti.

Sepanjang persembahan, saya memilih untuk menonton menggunakan lensa teori performance studies, khususnya dengan menggunakan 6 Axioms for Environmental Theatre yang ditulis oleh Richard Schechner. Pendekatan ini memungkinkan saya untuk mengenal pasti beberapa elemen utama dalam Nuansa Zapin 3.0 yang paling menonjol sebagai sebuah projek tahun akhir dalam bidang performance studies.

Tulisan ini bertujuan untuk mengenal pasti tanda-tanda utama yang mencerminkan prinsip performance studies dalam persembahan ini. Dengan analisis yang teliti, diharapkan perbincangan ini dapat memberikan sumbangan dalam memperkayakan apresiasi seni persembahan dalam konteks keilmuan semasa.

Richard Schechner, seorang sarjana utama dalam bidang performance studies, telah memperkenalkan konsep environmental theatre dalam bukunya Environmental Theater (1973). Pendekatan ini menolak batasan konvensional antara pelakon dan penonton serta antara ruang pentas dan ruang tontonan. Sebagai asas kepada teori ini, Schechner menggariskan enam aksioma yang menjadi prinsip utama dalam environmental theatre.

Aksioma pertama menegaskan bahawa environmental theatre tidak terikat kepada pentas prosenium yang lazim digunakan dalam teater konvensional. Sebaliknya, pementasan boleh berlangsung dalam ruang yang telah diubah suai atau dalam ruang sedia ada (found space), seperti gudang, jalan raya, atau kawasan luar bandar. Penggunaan ruang alternatif ini membolehkan pengalaman teater yang lebih imersif dan organik, sekali gus menghapuskan hierarki antara pelakon dan penonton serta memperkaya dinamika persembahan.

Seluruh ruang digunakan untuk persembahan dan penonton. Schechner menolak idea pemisahan ketat antara ruang persembahan dan ruang penonton. Dalam environmental theatre, penonton tidak terhad kepada tempat duduk tetap dan diberi kebebasan untuk bergerak dalam ruang persembahan. Keadaan ini membolehkan mereka mengalami pementasan dari pelbagai sudut dan meningkatkan keterlibatan secara langsung dengan pelakon serta elemen pentas. Kaedah ini juga menggalakkan hubungan yang lebih interaktif antara penonton dan peristiwa dramatik yang sedang berlangsung.

Berbeza dengan teater konvensional yang mempunyai struktur temporal tetap, environmental theatre tidak terbatas kepada tempoh tertentu. Sesebuah persembahan boleh berlangsung selama beberapa jam, hari, atau bahkan minggu. Pendekatan ini membolehkan naratif berkembang dengan lebih fleksibel, di samping memberikan kebebasan kepada penonton untuk menentukan tahap keterlibatan mereka. Fenomena ini juga berkaitan dengan konsep durational performance, yang menekankan pengalaman jangka panjang bagi membina hubungan lebih mendalam antara penonton dan kandungan persembahan.

Aksioma keempat menegaskan sifat dinamik environmental theatre, yang sering kali berasaskan improvisasi serta responsif terhadap persekitaran dan reaksi penonton. Tidak seperti teater konvensional yang berpegang kepada skrip tetap, persemabahan dalam environmental theatre boleh berubah-ubah mengikut konteks sosial, emosi, dan interaksi spontan yang berlaku dalam ruang persembahan. Pendekatan ini sejajar dengan teori happening oleh Allan Kaprow, yang melihat persembahan sebagai sesuatu yang bersifat sementara dan tidak boleh diulang dengan cara yang sama.

Fokus persembahan adalah fleksibel dan berubah-ubah. Dalam teater prosenium, fokus persembahan biasanya tertumpu kepada satu titik tetap, iaitu pentas hadapan. Namun, dalam environmental theatre, tumpuan boleh beralih dari satu sudut ke sudut lain, bergantung pada pergerakan pelakon dan reaksi penonton. Keadaan ini membolehkan penonton mencipta pengalaman unik berdasarkan sudut pandangan dan pilihan mereka sendiri. Ketidakpastian dan kepelbagaian tumpuan ini mencerminkan sifat decentralisation dalam estetika persembahan kontemporari.

Aksioma terakhir menegaskan bahawa environmental theatre tidak bergantung sepenuhnya pada teks dramatik sebagai elemen utama. Sebaliknya, pengalaman teater terhasil daripada gabungan pelbagai elemen seperti ruang, bunyi, cahaya, objek fizikal, serta interaksi antara pelakon dan penonton. Fleksibiliti ini membolehkan persembahan berkembang secara organik dan responsif terhadap dinamika yang muncul sepanjang pementasan. Implikasi aksioma ini berakar dalam konsep postdramatic theatre yang diperkenalkan oleh Hans-Thies Lehmann, yang menolak dominasi teks dan memberi keutamaan kepada elemen pengalaman teater.

Persembahan Nuansa Zapin 3.0, yang dikoreografikan oleh Kerol Mohtar dan dipersembahkan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada 14 hingga 15 Februari 2025, merupakan satu bentuk persembahan yang mendekonstruksi norma persembahan konvensional. Salah satu ciri utama persembahan ini ialah keterlibatan penonton secara aktif dalam pertunjukan, menjadikannya seiring dengan prinsip environmental theatre yang dirumuskan oleh Richard Schechner.

Dewan Tunku Abdul Rahman di MATIC, walaupun merupakan sebuah dewan konvensional, telah dimanfaatkan sebagai ruang yang lebih organik dan interaktif melalui pendekatan koreografi serta interaksi yang tidak lazim dalam pementasan tari tradisional. Dengan membenarkan penonton berinteraksi dan bergerak bebas, batas antara pentas dan audiens dilarutkan, menjadikannya selari dengan konsep found space dalam environmental theatre.

Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.
Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.

Sepanjang persembahan, seluruh ruang dewan digunakan sebagai medan interaksi antara persembahan dan penonton. Sejak awal, pembawa acara telah mengumumkan bahawa penonton dibenarkan menyalakan telefon bimbit, mengambil gambar, bersorak, menari, menyanyi, dan bertepuk tangan tanpa sebarang sekatan. Dengan membolehkan interaksi yang sebegitu terbuka, Nuansa Zapin 3.0 membina pengalaman yang tidak lagi dikawal oleh struktur ruang tradisional, sebaliknya mengubah keseluruhan kawasan menjadi sebahagian daripada naratif persembahan itu sendiri.

Meskipun persembahan ini berlangsung dalam jangka masa tertentu, keterlibatan penonton yang tinggi mewujudkan kesan kesinambungan pengalaman di luar batas masa pertunjukan. Keterbukaan terhadap interaksi langsung membolehkan penonton mengalami persembahan secara lebih fleksibel. Dalam konteks ini, Nuansa Zapin 3.0 tidak terikat kepada struktur masa yang rigid: baku-pasti-ketat, sebaliknya membuka ruang untuk pengalaman yang lebih berpanjangan, selari dengan prinsip yang menolak batasan masa dalam environmental theatre.

Fokus dalam Nuansa Zapin 3.0 bersifat cair dan tidak tertumpu pada satu titik tetap. Dalam kebanyakan pertunjukan tari tradisional, fokus lazimnya berada pada pentas dan penari. Namun, dalam pementasan ini, tumpuan berubah-ubah bergantung pada reaksi penonton dan pergerakan penari. Setiap individu boleh memilih untuk memberi perhatian kepada aspek tertentu dalam persembahan, sama ada gerak tari, ekspresi wajah penari, atau interaksi sesama penonton. Hal ini mencerminkan konsep decentralisation dalam performance studies yang menolak satu bentuk naratif dominan.

Selain itu, persembahan ini menolak konvensi yang melihat pementasan sebagai sesuatu yang statik dan berstruktur ketat. Sebaliknya, ia menjadikan semua elemen seperti bunyi sorakan penonton, cahaya daripada telefon bimbit, serta pergerakan bebas audiens merupakan sebahagian daripada pengalaman keseluruhan. Interaktiviti ini mengubah Nuansa Zapin 3.0 daripada sekadar persembahan tari kepada suatu peristiwa yang lebih luas, di mana semua unsur persembahan: penari, muzik, ruang, dan penonton saling berhubung secara dinamik. Dengan mewujudkan ruang yang memberi kebebasan kepada audiens untuk menjadi sebahagian daripada persembahan, ia bukan sahaja mengubah pengalaman menonton, tetapi juga memperkenalkan satu bentuk apresiasi baharu terhadap seni persembahan.

Kerol Mohtar selaku koreografer memperlihatkan kecenderungan yang ragu-ragu antara mengekalkan bentuk konvensional zapin atau mengolahnya secara sepenuhnya kreatif. Namun, keraguan ini sebenarnya memperkukuh hakikat bahawa Nuansa Zapin 3.0 sejajar dengan enam aksioma environmental theatre yang dikemukakan oleh Richard Schechner, yang menekankan keterbukaan terhadap bentuk, warna, karakter, dan corak yang tidak dapat ditentukan secara mutlak. Ketidakpastian ini menjadi ciri utama persembahan, terutama apabila dikaitkan dengan sifat manusia pascamoden yang dihuraikan oleh Herbert Marcuse sebagai manusia satu dimensi dalam bukunya yang bertajuk One-Dimensional Man (1964).

Manusia pascamoden, menurut Marcuse, berada dalam keadaan yang sentiasa berulang-ulang antara konvensi dan dekonstruksi, tidak pernah benar-benar memilih satu bentuk mutlak, tetapi sebaliknya terus berada dalam ruang ketidakpastian yang memerlukan interpretasi yang sentiasa berubah. Fenomena ini dapat dilihat dalam Nuansa Zapin 3.0, di mana unsur tradisional zapin tetap dikekalkan dalam struktur gerak dan muziknya, tetapi pada masa yang sama, elemen-elemen baharu yang lebih kontemporari turut diserap masuk. Percanggahan ini bukan sahaja menjadikan Nuansa Zapin 3.0 sebagai sebuah karya yang kompleks, tetapi juga sebagai satu pernyataan estetik yang menguji batas antara tradisi dan inovasi.

Selain itu, ambiguiti yang wujud dalam pendekatan Kerol Mohtar terhadap zapin menunjukkan bahawa Nuansa Zapin 3.0 bukan sekadar sebuah persembahan tari, tetapi juga satu wacana yang lebih luas tentang bagaimana warisan budaya boleh terus berkembang dalam kerangka pascamoden. Ketidakpastian dalam memilih antara bentuk konvensional atau inovasi sepenuhnya tidak harus dilihat sebagai kelemahan, tetapi sebagai strategi kreatif yang memungkinkan penonton mengalami nunasa zapin dalam spektrum yang lebih luas. Justeru, Nuansa Zapin 3.0 bukan sahaja selari dengan aksioma environmental theatre Schechner yang menolak batasan mutlak, tetapi juga menjadi refleksi terhadap sifat manusia kontemporari yang berhadapan dengan realiti budaya yang sentiasa berubah dan tidak dapat dipastikan secara tetap.

Dalam segmen kedua persembahan Nuansa Zapin 3.0, terdapat satu repertoar tari yang memperlihatkan suatu dekonstruksi yang signifikan terhadap bentuk konvensional zapin. Secara tradisional, zapin merupakan tarian sosial yang bersifat komunal dan mesti dipersembahkan secara beramai-ramai ("haram" dipersembahkan secara tarian solo), sebagaimana yang dapat dilihat dalam tradisi Main Zapin. Namun, Kerol Mohtar menawarkan suatu pendekatan baharu dengan mempersembahkan zapin yang ditarikan oleh seorang penari sahaja. Pendekatan ini bukan sekadar mencabar norma tradisi, tetapi juga membuka ruang kepada transformasi zapin sebagai satu bentuk seni yang lebih relevan dalam konteks dunia pascamoden.

Keunikan tarian ini semakin terserlah melalui penggabungan unsur-unsur hibrid yang memperkaya bentuknya. Meskipun gerak tari zapin dikenali dengan ritmik yang tersusun dan formasi berkumpulan, Kerol Mohtar mengintegrasikan motif-motif tarian dari budaya lain, menjadikannya lebih dinamik dan beragam. Penonton dapat melihat penyertaan elemen tarian Cina yang diserap secara harmoni dalam koreografi ini. Selain itu, pengaruh tarian India juga ketara, terutama dalam penerapan konsep yang sebut sebagai "tubuh bercerita", di mana ekspresi gerak tubuh menjadi medium utama dalam penyampaian makna dan naratif. Ini berlawanan dengan asas zapin yang secara tradisional lebih menekankan pola langkah yang berpandukan irama muzik yang tetap. Namun, melalui tangan Kerol Mohtar, perbezaan ini tidak menjadi percanggahan, sebaliknya mencipta sintesis yang memperkaya dan mengembangkan zapin ke arah bentuk yang lebih kontemporari.

Eksperimen ini membuktikan bahawa zapin sebagai sebuah bentuk tari tidak semestinya bersifat statik dalam pola asalnya. Sebaliknya, ia mempunyai keupayaan untuk berkembang dengan menerima unsur baharu tanpa kehilangan identiti terasnya. Tarian zapin solo yang diperkenalkan ini bukan sekadar suatu inovasi estetika, tetapi juga menjadi bukti keberanian Kerol Mohtar dalam menanggapi zapin sebagai ruang eksplorasi yang lebih luas. Malah, pendekatan ini menempatkan Kerol Mohtar dalam kedudukan yang sejalan dengan kajian performance studies, di mana tubuh bukan sahaja berfungsi sebagai alat ekspresi seni, tetapi juga sebagai wadah wacana budaya yang lebih mendalam. Oleh itu, daripada keseluruhan repertoar yang dipersembahkan dalam Nuansa Zapin 3.0, tarian zapin solo ini muncul sebagai satu manifestasi artistik yang bukan sahaja menarik secara visual, tetapi juga berpotensi besar dalam membentuk semula wacana zapin dalam seni persembahan kontemporari.

Pemilihan muzik yang telah popular dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai muzik tari dalam Nuansa Zapin 3.0 memperlihatkan bagaimana zapin semakin melebarkan dirinya ke dalam suatu ranah baharu yang lebih terbuka dan dinamik. Penggabungan muzik ini bukan sahaja mengekalkan zapin sebagai simbol identiti tradisional Melayu, tetapi juga menegaskan fungsinya sebagai representasi budaya Melayu dalam era pascamoden. Dalam konteks ini, teori hibriditi yang dikemukakan oleh Homi Bhabha menjadi relevan kerana hibriditi dalam seni bukan sekadar percampuran unsur-unsur budaya, tetapi satu proses yang membentuk ruang perantara (third space), menghasilkan identiti baharu yang tidak lagi terikat secara mutlak kepada bentuk asal.

Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.
Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.

Dengan mengadaptasi muzik yang telah dikenali dan diterima oleh masyarakat, Nuansa Zapin 3.0 mencipta satu bentuk seni yang lebih inklusif, di mana batasan antara tradisional dan kontemporari menjadi semakin cair. Zapin tidak lagi bersifat statik dalam pola asalnya yang rigid, sebaliknya berkembang dengan lebih fleksibel untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap budaya semasa. Dalam konteks pascamoden, di mana identiti sering kali bersifat cair dan tidak tetap, pendekatan ini menunjukkan bagaimana zapin berfungsi sebagai medium yang berdaya tahan dan mampu beradaptasi tanpa kehilangan akar budayanya.

Pendekatan ini turut membuktikan bahawa Kerol Mohtar bukan sahaja melenturkan zapin dari segi gerak tari, tetapi juga dalam aspek muzikalnya. Dengan membenarkan elemen-elemen muzik moden bergabung dengan ritma zapin tradisional, secara tidak langsung mengesahkan kedudukan zapin dalam ranah seni yang sentiasa mengalami transformasi. Hibriditi ini tidak hanya berlaku dalam aspek estetika, tetapi juga dalam penerimaan budaya, di mana khalayak yang mungkin tidak begitu mengenali zapin tradisional kini dapat menghayati dan menginterpretasi tarian ini dalam bentuk baharu yang lebih dekat dengan pengalaman mereka.

Dari perspektif performance studies, pendekatan ini bukan sekadar menghasilkan kesan estetika yang segar, tetapi juga menawarkan satu naratif baharu tentang bagaimana seni persembahan boleh menjadi medan pertemuan antara tradisi dan inovasi. Nuansa Zapin 3.0 membuktikan bahawa seni tradisional seperti zapin bukan sahaja mampu bertahan dalam dunia moden, tetapi juga dapat berkembang secara dinamik, menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman tanpa kehilangan keasliannya. Oleh itu, pemilihan muzik popular dalam konteks ini bukan sekadar strategi artistik, tetapi juga satu bentuk wacana budaya yang memperlihatkan bagaimana identiti Melayu dapat terus hidup dan berkembang dalam ruang pascamoden yang semakin kompleks dan pelbagai.

Dalam persembahan seni tradisional, termasuk zapin, struktur keseluruhan persembahan sering kali tidak dapat dikenal pasti dengan jelas. Pergantian antara satu tarian ke tarian yang lain tidak selalu mengikuti pola yang tegas atau linear, sebaliknya, ia berlaku dengan cara yang organik dan sering kali tidak disedari oleh pemain mahupun penonton. Dalam tradisi zapin, pertukaran ini boleh terjadi melalui jeda untuk minum, duduk berehat, atau bahkan meneruskan gerakan secara spontan. Selain itu, peristiwa-peristiwa tidak terduga seperti kehadiran tetamu kehormat, insiden penonton yang pengsan, atau individu yang tiba-tiba mengalami rasuk juga dapat menjadi titik transisi yang sah dalam struktur persembahan, menjadikan setiap elemen dalam ruang tontonan sebagai sebahagian daripada pengalaman persembahan itu sendiri.

Dalam Nuansa Zapin 3.0, Kerol Mohtar mengangkat fenomena ini ke dalam sebuah pengalaman yang lebih kompleks dengan memperkenalkan pelbagai tanda yang mengaburkan batas antara penonton dan persembahan. Permainan pencahayaan yang bergantian antara gelap dan terang di kawasan penonton bukan sekadar elemen teknikal, tetapi juga berfungsi sebagai tanda penyertaan, mengisyaratkan pelebaran ruang antara audiens dan persembahan. Selain itu, pemberian hadiah kepada penonton yang aktif berinteraksi menambah dimensi keterlibatan langsung dalam persembahan, menegaskan konsep bahawa mereka bukan sekadar pemerhati pasif tetapi turut membentuk naratif pementasan. Kehadiran pembawa acara yang berperanan lebih daripada sekadar pengantara, tetapi juga sebagai sebahagian daripada struktur dramatik persembahan, mengaburkan batas antara fungsi pengacara dan peranan aktor. Sementara itu, ulasan akademik mengenai sejarah dan asal-usul zapin turut dimasukkan, membentuk satu jaringan interaksi yang kompleks antara maklumat, hiburan, dan penyertaan khalayak.

Dalam konteks performance studies, pendekatan ini berhubungan erat dengan aksioma keempat dan kelima dalam environmental theatre.  Aksioma keempat menekankan bahawa setiap unsur dalam ruang persembahan memiliki kepentingannya sendiri, di mana penonton bukan sekadar pemerhati tetapi turut terlibat secara aktif dalam membentuk pengalaman pementasan. Sementara itu, aksioma kelima menyatakan bahawa pengalaman persembahan tidak berstruktur secara linear tetapi berkembang dalam pelbagai dimensi yang saling berkaitan. Dalam Nuansa Zapin 3.0, struktur yang kelihatan cair dan sukar dikenal pasti pada hakikatnya merupakan struktur itu sendiri: sebuah mekanisme yang terbentuk daripada interaksi berterusan antara pemain, ruang, dan penonton.

Melalui pendekatan ini, Kerol Mohtar bukan sahaja menafsirkan semula zapin dalam bentuk moden tetapi juga menguji batasan antara tradisi dan inovasi. Pendekatan yang menggabungkan unsur-unsur tidak terduga ini memperlihatkan bahawa struktur persembahan bukanlah sesuatu yang harus dipaksakan dalam format yang kaku, sebaliknya ia berkembang melalui jaringan hubungan yang dinamik dan interaktif. Hal ini bukan sahaja memperlihatkan keterbukaan dalam struktur Nuansa Zapin 3.0, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Kerol Mohtar sebagai koreografer yang memahami dan menerapkan prinsip-prinsip performance studies dalam karyanya.

Akhirnya, Nuansa Zapin 3.0 bukanlah sebuah persembahan yang sempurna, kerana masih terdapat beberapa kelemahan seperti komposisi pergerakan yang berulang serta kematangan ekspresi tubuh penari yang belum sepenuhnya mencapai tahap optimum. Namun demikian, Kerol Mohtar telah menunjukkan suatu usaha yang signifikan dalam mencabar batasan konvensional zapin serta menerapkan prinsip performance studies sebagai landasan penciptaan karya.

Namun, untuk memastikan Nuansa Zapin 3.0 benar-benar mencapai tahap yang lebih tinggi di masa hadapan sebagai sebuah persembahan seni yang berlandaskan kajian dan kesedaran ilmiah kritis, ia perlu dihasilkan dengan pertimbangan yang lebih mendalam. Tidak cukup sekadar menjadikannya sebagai ekspresi insting artistik semata-mata, sebaliknya, perlu ada keseimbangan antara kreativiti dan kaedah penciptaan ilmiah dalam setiap aspek pengkaryaannya. Ini kerana seorang ilmuwan tari tidak hanya berperanan sebagai pencipta seni, tetapi juga sebagai penyelidik dan pengkarya yang menggabungkan ilmu pengetahuan, naluri artistik, serta pengalaman mendalam bagi memastikan karyanya relevan dan bermakna dalam konteks seni kontemporari serta warisan budaya semasa.

Malasysia, Syakban 2025.

Salman Faris, Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Follow Instagram @kompasianacom juga Tiktok @kompasiana biar nggak ketinggalan event seru komunitas dan tips dapat cuan dari Kompasiana. Baca juga cerita inspiratif langsung dari smartphone kamu dengan bergabung di WhatsApp Channel Kompasiana di SINI

HALAMAN :
  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
Mohon tunggu...

Lihat Konten Humaniora Selengkapnya
Lihat Humaniora Selengkapnya
Beri Komentar
Berkomentarlah secara bijaksana dan bertanggung jawab. Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE

Belum ada komentar. Jadilah yang pertama untuk memberikan komentar!
LAPORKAN KONTEN
Alasan
Laporkan Konten
Laporkan Akun