Mohon tunggu...
SALMAN FARIS
SALMAN FARIS Mohon Tunggu... Dosen

Karena sudah telanjur ada, maka mestinya tidak sekadar ada.

Selanjutnya

Tutup

Humaniora

Mencari Jejak Performance Studies dalam Nuansa Zapin 3.0 Karya Kerol Mohtar

16 Februari 2025   11:21 Diperbarui: 16 Februari 2025   11:21 467
+
Laporkan Konten
Laporkan Akun
Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.
Lihat foto
Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.

Aksioma terakhir menegaskan bahawa environmental theatre tidak bergantung sepenuhnya pada teks dramatik sebagai elemen utama. Sebaliknya, pengalaman teater terhasil daripada gabungan pelbagai elemen seperti ruang, bunyi, cahaya, objek fizikal, serta interaksi antara pelakon dan penonton. Fleksibiliti ini membolehkan persembahan berkembang secara organik dan responsif terhadap dinamika yang muncul sepanjang pementasan. Implikasi aksioma ini berakar dalam konsep postdramatic theatre yang diperkenalkan oleh Hans-Thies Lehmann, yang menolak dominasi teks dan memberi keutamaan kepada elemen pengalaman teater.

Persembahan Nuansa Zapin 3.0, yang dikoreografikan oleh Kerol Mohtar dan dipersembahkan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada 14 hingga 15 Februari 2025, merupakan satu bentuk persembahan yang mendekonstruksi norma persembahan konvensional. Salah satu ciri utama persembahan ini ialah keterlibatan penonton secara aktif dalam pertunjukan, menjadikannya seiring dengan prinsip environmental theatre yang dirumuskan oleh Richard Schechner.

Dewan Tunku Abdul Rahman di MATIC, walaupun merupakan sebuah dewan konvensional, telah dimanfaatkan sebagai ruang yang lebih organik dan interaktif melalui pendekatan koreografi serta interaksi yang tidak lazim dalam pementasan tari tradisional. Dengan membenarkan penonton berinteraksi dan bergerak bebas, batas antara pentas dan audiens dilarutkan, menjadikannya selari dengan konsep found space dalam environmental theatre.

Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.
Persembahan Nuansa Zapin 3.0-Sumber: Dokumen Persendirian.

Sepanjang persembahan, seluruh ruang dewan digunakan sebagai medan interaksi antara persembahan dan penonton. Sejak awal, pembawa acara telah mengumumkan bahawa penonton dibenarkan menyalakan telefon bimbit, mengambil gambar, bersorak, menari, menyanyi, dan bertepuk tangan tanpa sebarang sekatan. Dengan membolehkan interaksi yang sebegitu terbuka, Nuansa Zapin 3.0 membina pengalaman yang tidak lagi dikawal oleh struktur ruang tradisional, sebaliknya mengubah keseluruhan kawasan menjadi sebahagian daripada naratif persembahan itu sendiri.

Meskipun persembahan ini berlangsung dalam jangka masa tertentu, keterlibatan penonton yang tinggi mewujudkan kesan kesinambungan pengalaman di luar batas masa pertunjukan. Keterbukaan terhadap interaksi langsung membolehkan penonton mengalami persembahan secara lebih fleksibel. Dalam konteks ini, Nuansa Zapin 3.0 tidak terikat kepada struktur masa yang rigid: baku-pasti-ketat, sebaliknya membuka ruang untuk pengalaman yang lebih berpanjangan, selari dengan prinsip yang menolak batasan masa dalam environmental theatre.

Fokus dalam Nuansa Zapin 3.0 bersifat cair dan tidak tertumpu pada satu titik tetap. Dalam kebanyakan pertunjukan tari tradisional, fokus lazimnya berada pada pentas dan penari. Namun, dalam pementasan ini, tumpuan berubah-ubah bergantung pada reaksi penonton dan pergerakan penari. Setiap individu boleh memilih untuk memberi perhatian kepada aspek tertentu dalam persembahan, sama ada gerak tari, ekspresi wajah penari, atau interaksi sesama penonton. Hal ini mencerminkan konsep decentralisation dalam performance studies yang menolak satu bentuk naratif dominan.

Selain itu, persembahan ini menolak konvensi yang melihat pementasan sebagai sesuatu yang statik dan berstruktur ketat. Sebaliknya, ia menjadikan semua elemen seperti bunyi sorakan penonton, cahaya daripada telefon bimbit, serta pergerakan bebas audiens merupakan sebahagian daripada pengalaman keseluruhan. Interaktiviti ini mengubah Nuansa Zapin 3.0 daripada sekadar persembahan tari kepada suatu peristiwa yang lebih luas, di mana semua unsur persembahan: penari, muzik, ruang, dan penonton saling berhubung secara dinamik. Dengan mewujudkan ruang yang memberi kebebasan kepada audiens untuk menjadi sebahagian daripada persembahan, ia bukan sahaja mengubah pengalaman menonton, tetapi juga memperkenalkan satu bentuk apresiasi baharu terhadap seni persembahan.

Kerol Mohtar selaku koreografer memperlihatkan kecenderungan yang ragu-ragu antara mengekalkan bentuk konvensional zapin atau mengolahnya secara sepenuhnya kreatif. Namun, keraguan ini sebenarnya memperkukuh hakikat bahawa Nuansa Zapin 3.0 sejajar dengan enam aksioma environmental theatre yang dikemukakan oleh Richard Schechner, yang menekankan keterbukaan terhadap bentuk, warna, karakter, dan corak yang tidak dapat ditentukan secara mutlak. Ketidakpastian ini menjadi ciri utama persembahan, terutama apabila dikaitkan dengan sifat manusia pascamoden yang dihuraikan oleh Herbert Marcuse sebagai manusia satu dimensi dalam bukunya yang bertajuk One-Dimensional Man (1964).

Manusia pascamoden, menurut Marcuse, berada dalam keadaan yang sentiasa berulang-ulang antara konvensi dan dekonstruksi, tidak pernah benar-benar memilih satu bentuk mutlak, tetapi sebaliknya terus berada dalam ruang ketidakpastian yang memerlukan interpretasi yang sentiasa berubah. Fenomena ini dapat dilihat dalam Nuansa Zapin 3.0, di mana unsur tradisional zapin tetap dikekalkan dalam struktur gerak dan muziknya, tetapi pada masa yang sama, elemen-elemen baharu yang lebih kontemporari turut diserap masuk. Percanggahan ini bukan sahaja menjadikan Nuansa Zapin 3.0 sebagai sebuah karya yang kompleks, tetapi juga sebagai satu pernyataan estetik yang menguji batas antara tradisi dan inovasi.

Selain itu, ambiguiti yang wujud dalam pendekatan Kerol Mohtar terhadap zapin menunjukkan bahawa Nuansa Zapin 3.0 bukan sekadar sebuah persembahan tari, tetapi juga satu wacana yang lebih luas tentang bagaimana warisan budaya boleh terus berkembang dalam kerangka pascamoden. Ketidakpastian dalam memilih antara bentuk konvensional atau inovasi sepenuhnya tidak harus dilihat sebagai kelemahan, tetapi sebagai strategi kreatif yang memungkinkan penonton mengalami nunasa zapin dalam spektrum yang lebih luas. Justeru, Nuansa Zapin 3.0 bukan sahaja selari dengan aksioma environmental theatre Schechner yang menolak batasan mutlak, tetapi juga menjadi refleksi terhadap sifat manusia kontemporari yang berhadapan dengan realiti budaya yang sentiasa berubah dan tidak dapat dipastikan secara tetap.

Dalam segmen kedua persembahan Nuansa Zapin 3.0, terdapat satu repertoar tari yang memperlihatkan suatu dekonstruksi yang signifikan terhadap bentuk konvensional zapin. Secara tradisional, zapin merupakan tarian sosial yang bersifat komunal dan mesti dipersembahkan secara beramai-ramai ("haram" dipersembahkan secara tarian solo), sebagaimana yang dapat dilihat dalam tradisi Main Zapin. Namun, Kerol Mohtar menawarkan suatu pendekatan baharu dengan mempersembahkan zapin yang ditarikan oleh seorang penari sahaja. Pendekatan ini bukan sekadar mencabar norma tradisi, tetapi juga membuka ruang kepada transformasi zapin sebagai satu bentuk seni yang lebih relevan dalam konteks dunia pascamoden.

Keunikan tarian ini semakin terserlah melalui penggabungan unsur-unsur hibrid yang memperkaya bentuknya. Meskipun gerak tari zapin dikenali dengan ritmik yang tersusun dan formasi berkumpulan, Kerol Mohtar mengintegrasikan motif-motif tarian dari budaya lain, menjadikannya lebih dinamik dan beragam. Penonton dapat melihat penyertaan elemen tarian Cina yang diserap secara harmoni dalam koreografi ini. Selain itu, pengaruh tarian India juga ketara, terutama dalam penerapan konsep yang sebut sebagai "tubuh bercerita", di mana ekspresi gerak tubuh menjadi medium utama dalam penyampaian makna dan naratif. Ini berlawanan dengan asas zapin yang secara tradisional lebih menekankan pola langkah yang berpandukan irama muzik yang tetap. Namun, melalui tangan Kerol Mohtar, perbezaan ini tidak menjadi percanggahan, sebaliknya mencipta sintesis yang memperkaya dan mengembangkan zapin ke arah bentuk yang lebih kontemporari.

Eksperimen ini membuktikan bahawa zapin sebagai sebuah bentuk tari tidak semestinya bersifat statik dalam pola asalnya. Sebaliknya, ia mempunyai keupayaan untuk berkembang dengan menerima unsur baharu tanpa kehilangan identiti terasnya. Tarian zapin solo yang diperkenalkan ini bukan sekadar suatu inovasi estetika, tetapi juga menjadi bukti keberanian Kerol Mohtar dalam menanggapi zapin sebagai ruang eksplorasi yang lebih luas. Malah, pendekatan ini menempatkan Kerol Mohtar dalam kedudukan yang sejalan dengan kajian performance studies, di mana tubuh bukan sahaja berfungsi sebagai alat ekspresi seni, tetapi juga sebagai wadah wacana budaya yang lebih mendalam. Oleh itu, daripada keseluruhan repertoar yang dipersembahkan dalam Nuansa Zapin 3.0, tarian zapin solo ini muncul sebagai satu manifestasi artistik yang bukan sahaja menarik secara visual, tetapi juga berpotensi besar dalam membentuk semula wacana zapin dalam seni persembahan kontemporari.

HALAMAN :
  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
Mohon tunggu...

Lihat Konten Humaniora Selengkapnya
Lihat Humaniora Selengkapnya
Beri Komentar
Berkomentarlah secara bijaksana dan bertanggung jawab. Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE

Belum ada komentar. Jadilah yang pertama untuk memberikan komentar!
LAPORKAN KONTEN
Alasan
Laporkan Konten
Laporkan Akun