Hari Malaysia setiap tahun diraikan dengan menekankan kesatuan nasional. Namun, di sebalik Jalur Gemilang yang berkibar dan lagu patriotik yang berkumandang, persoalan yang lebih mendasar sering kali tidak disentuh dengan mendalam. Bagaimanakah sebenarnya citra negara bangsa Malaysia dibina sejak 1963? Adakah citra ini benar benar mengakar dalam kesedaran kolektif rakyat? Hari Malaysia sepatutnya menjadi medan renungan kritis kerana pembinaan citra negara bangsa adalah soal jati diri dan hala tuju masa depan kita bersama.
Konsep Bangsa Malaysia yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat dibaca sebagai suatu usaha konseptual untuk merumuskan bentuk citra negara bangsa yang berakar dalam realiti sosiologi Malaysia yang majmuk. Secara konseptual, Bangsa Malahsia menolak pengertian sempit bangsa sebagai kategori etnik semata-mata, sebaliknya mengangkat bangsa sebagai sebuah wadah politik dan budaya yang terjalin daripada kesedaran kolektif rakyat terhadap nasib bersama. Dalam pengertian ini, Bangsa Malaysia adalah citra negara bangsa yang ditentukan bukan oleh keseragaman darah atau bahasa, tetapi oleh nilai kesetiaan, keadilan dan tanggungjawab sosial. Justeru, gagasan ini bersifat normatif, yakni mampu menandakan arah yang harus dituju. Pembentukan masyarakat yang mampu melampaui kepentingan negara menuju satu horizon kemodenan yang lebih luas, tanpa menafikan akar sejarah dan kepelbagaian identiti yang telah membentuk wajah Malaysia.
Konsep citra negara bangsa adalah gambaran mental dan simbolik yang dikongsi oleh rakyat tentang negara mereka. Hal ini demikian dengan menampakkan wajah negara kepada rakyatnya sendiri dan juga kepada dunia luar. Negara bangsa pula bukan sekadar entiti undang undang yang ada bendera dan parlimen, tetapi sesuatu yang lebih dalam yakni imaginasi bersama yang menumbuhkan rasa kepunyaan dan kebersamaan. Dalam konteks Malaysia, citra itu wujud dalam lambang seperti Jalur Gemilang, bahasa kebangsaan, lagu Negaraku, dalam naratif sejarah perjuangan kemerdekaan, dan dalam tokoh pahlawan yang diangkat sebagai simbol nasional. Namun, pertanyaan kritis harus diajukan. Apakah citra itu benar-benar merangkum seluruh kepelbagaian Malaysia?
Untuk memahami persoalan ini, kita perlu menoleh kepada sejarah pembinaan citra Malaysia. Sebelum 1963, naratif nasional dibentuk melalui pengalaman Persekutuan Tanah Melayu. Kemerdekaan 1957 diposisikan sebagai puncak perjuangan antikolonial dan wajah utama naratif itu ialah tokoh-tokoh Semenanjung. Ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963, citra negara bangsa sepatutnya diperluas untuk menggabungkan Sabah dan Sarawak dalam kesetaraan. Namun realitinya, naratif nasional masih sentrik Malaya.
Perjanjian Malaysia 1963 selalu digambarkan sebagai asas pembentukan Malaysia, tetapi jarang diangkat sebagai dokumen pengasas dalam imaginasi kolektif. MA63 lebih banyak menjadi dokumen undang-undang yang difahami elit politik, bukan sebahagian daripada kesedaran nasional rakyat biasa. Akibatnya, rakyat Sabah dan Sarawak sering merasa citra nasional tidak sepenuhnya mencerminkan pengalaman mereka.
Instrumen pembangunan citra negara bangsa di Malaysia sebenarnya merupakan rangkaian yang saling bertaut antara pendidikan, media, dasar kebudayaan dan politik. Namun, kesemuanya tidak pernah bebas daripada kecenderungan ideologi yang membentuk gambaran negara menurut perspektif pihak yang dominan.
Pertama, pendidikan adalah asas utama pembangunan citra negara bangsa kerana hal tersebut membentuk kesedaran generasi muda sejak awal. Kurikulum dan buku teks bukan sahaja mengajar fakta sejarah tetapi juga membina naratif nasional yang tersendiri. Namun, adakah naratif itu benar benar inklusif? Jika kita teliti buku teks sejarah, sebahagian besar kandungannya masih condong kepada Malaya, seolah-olah Malaysia lahir sepenuhnya dari perjuangan di Semenanjung. Sabah dan Sarawak lebih banyak muncul sebagai catatan tambahan, bukan sebahagian arus utama cerita. Keadaan ini menyebabkan murid dari Borneo mungkin merasa terpinggir, manakala murid di Semenanjung membesar dengan gambaran bahawa tanah air ini terbina hanya melalui pengalaman nenek moyang mereka. Pendidikan yang terlalu berpusat begini akhirnya mewarnai citra negara bangsa dengan sebelah mata sahaja.
Kedua, media pula memperluas citra ini dengan cara yang lebih halus tetapi kuat pengaruhnya. Filem dan drama sering menyulam kisah perjuangan, pengorbanan dan kepahlawanan, manakala lagu patriotik memupuk semangat kebangsaan. Berita televisyen dan akhbar membentuk wacana perpaduan serta imej negara di mata rakyat. Namun, sama seperti pendidikan, media juga cenderung mengulang naratif yang dominan. Kisah perjuangan di Semenanjung lebih banyak ditayangkan, sedangkan tokoh atau peristiwa penting di Sabah dan Sarawak jarang diketengahkan dalam arus perdana. Hasilnya, citra negara bangsa yang terpapar di layar dan akhbar tidak sepenuhnya mewakili keseluruhan wajah Malaysia, tetapi lebih menyerupai cermin yang memantulkan imej separuh negara sahaja.
Ketiga, dasar kebudayaan memberi asas simbolik kepada citra negara bangsa. Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan menjadi tunjang penting untuk membina jati diri bersama. Seni dan warisan pula dijadikan lambang kebangsaan, termasuk pakaian tradisi, tarian dan kraftangan. Namun di sinilah kita perlu berfikir sejenak, adakah semua etnik diberi ruang setara dalam gambaran kebudayaan rasmi? Dalam banyak hal, seni dan warisan bumiputera digunakan untuk memaparkan kepelbagaian, tetapi cara budaya itu digarap dengab lebih bersifat kosmetik daripada benar-benar mengangkat sejarah, bahasa dan budaya masyarakat tersebut dalam arus utama negara. Dasar kebudayaan yang gagal mencerminkan kepelbagaian ini akhirnya membina citra yang rapuh kerana tidak semua rakyat merasakan terwakili mereka.
Keempat, politik akhirnya menjadi instrumen paling ketara dalam memperkukuh citra negara bangsa. Simbol-simbol rasmi seperti Jalur Gemilang, lagu Negaraku, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia berfungsi menanamkan rasa kebangsaan bersama. Namun, politik juga adalah ruang ideologi. Mereka yang dominan dalam kuasa, dialah yang berhak menentukan rupa citra negara bangsa dipersembahkan. Misalnya, sambutan Hari Kebangsaan sering dirangka dengan naratif tertentu yang menekankan peranan pemimpin atau parti dominan, manakala kisah perjuangan masyarakat lain mungkin hanya menjadi latar. Politik menjadikan citra negara bangsa bukan semata-mata gambaran neutral, cuma sebuah naratif yang dipilih demi kepentingan kuasa.