Sekiranya kita meneliti perjalanan politik di Malaysia, kita akan melihat situasi politik kita selalu berubah sehingga menjadi fenomena yang mencorakkan geopolitik negara ini sejak merdeka pada tahun 1957. Struktur politik Malaysia yang dinamik dan kompleks terus berkembang sehingga ke hari ini. Pelbagai peristiwa seperti pertukaran kerajaan,penggubalan undang-undang dan isu masyarakat yang melibatkan kaum dan ugama telah mencerminkan perkembangan politik di Malaysia, begitu juga dengan penubuhan parti-parti politik seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia,setakat 2024 ahaja sebanyak lebih 40 parti politik telah terdaftar dan aktif. Maka, boleh dilihat bahawa kesedaran rakyat Malaysia akan demokrasi dan politik semakin serius dan mustahak. Ertinya, kesedaran bahawa setiap pendapat dan cita-cita politik itu boleh diutarakan dan dizahirkan, cuma yang menjadikan halangan adalah mekanisme yang membolehkan pendapat dan cita-cita politik mereka boleh diperjuangkan dan diterima baik oleh masyarakat.
 Umum semua mengetahui bahawa salah-satu asas utama dalam politik adalah ideologi. Secara mudahnya, ideologi boleh ditafsirkan sebagai sekumpulan fahaman, prinsip, konsep, idea dan doktrin yang disusun menjadi gagasan idea yang sistematik dan kompleks. Kebiasaannya, ideologi akan menjadi simbol, panduan dan dasar bagi sesebuah gerakan politik,sosial dan negara. Maka, hampir setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah entiti berorganisasi akan bersandarkan dan berpandukan ideologi yang diamalkan oleh mereka. Jika ideologi berteraskan fahaman atau doktrin yang bersifat baik, maka pengamalnya akan dipandu ke arah kebaikan namun, sekiranya ideologi yang dianut hanya dipenuhi dengan sifat-sifat yang tidak baik, maka binasalah pengamalnya. Kebanyakan ideologi yang diasaskan berdasar lokaliti. Ertinya pengaruh ideologi terhad kepada satu-satu tempat dan bangsa sahaja. Hal ini akan menyukarkan penyebaran ideologi ke tempat-tempat lain yang mempunyai sosiobudaya yang berbeza. Istilah yang tepat untuk menggambarkan ialah Nasionalisme.
 Untuk memahami lebih lanjut tentang ideologi, kita haruslah mengetahui ciri-ciri ideologi. Majoriti ideologi di seluruh dunia dibangun dengan 8 perkara. Pertama ialah struktur sosial,setiap ideologi akan memberikan pandangan masing-masing terhadap cara pembentukan dan pengaturan struktur sosial yakni masyarakat. Contohnya, ideologi komunis yang mempercayai bahawa struktur sosial itu seharusnya hanya mempunyai satu kelas iaitu kelas proletariat. Kedua ialah doktrin, fahaman yang ringkas dan spesifik ataupun disebut dengan istilah doktrin kebiasaannya akan ditarik ke dalam sesebuah ideologi sebagai komponennya. Doktrin-doktrin tersebut akan membantu dalam menyelesaikan sesuatu isu sesuai dengan kehendak ideologi dengan mudah. Misalnya, tanggapan ideologi Environmentalisme terhadap isu pencemaran alam sekitar yang meminta sebarang pencemaran alam sekitar tidak kira atas alasan pembangunan dan kemajuan wajib dihentikan sebagai solusi oleh ideologi tersebut. Ketiga ialah struktur pemerintahan yang mencakupi cara pemerintahan itu berfungsi dan cara bagaimana pemerintahan dipilih termasuklah peranan-peranan pemerintahan baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Contohnya, demokrasi yang berpandangan bahawa pemerintah hanya dapat ditentukan dengan majoriti undian orang ramai. Keempat ialah visi masa hadapan, ideologi-ideologi yang digagaskan akan menjanjikan dengan suatu gambaran masa hadapan yang menurut ideologi tersebut baik. Antara ideologi yang mempunyai visi masa hadapan yang sudah terang lagi bersuluh ialah kapitalisme dan komunisme. Kelima ialah kefahaman terhadap ekonomi. Tiap-tiap ideologi pasti mempunyai kefahaman ekonomi yang berbeza dan bahkan bertentang antara satu sama lain seperti kapitalisme dan komunisme yang mempunyai dasar yang sama-sama bermusuhan. Secara singkatnya, ideologi politik merupakan suatu asas kepada sesebuah organisasi seperti masyarakat,parti politik dan negara yang mempengaruhi tindakan,fungsi dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Ideologi juga turut memainkan obligasinya dalam membentuk geopolitik dunia, hal ini terbukti menerusi Perang Dingin yang memperlihatkan pertembungan dengan ideologi berhaluan kiri dan berhaluan kanan yang akhirnya memecahkan dunia menjadi dua blok utama yakni Pro-barat dan Pro-timur.
 Berbalik kepada konteks politik di Malaysia, permasalahan yang cuba ketengahkan ialah masalah ideologi luar. Majoriti parti politik di Malaysia memperjuangkan ideologi luar. Misalnya, UMNO yang memperjuangkan Nasionalisme Melayu (kanan-jauh), DAP yang berteraskan Social Democrat (kiri-tengah) dan PKR yang dipandu fahaman Liberal-Conservative (tengah). Maka, disinilah timbul permasalahan. Apabila parti-parti politik itu memperjuangkan ideologi luar dan mewujudkan kelompok baharu dalam masyarakat yang berfikir sesuai dengan ideologi luar serta parti politik ikutan mereka. Hal ini menjadikan rakyat Malaysia seolah-olah kehilangan identiti politik nasional. Maka, apabila kelompok-kelompok tersebut mulai mendominasi negara kita, pasti berlakunya pertentangan dan hal tersebut mampu mencapai ke suatu tahap yang lebih serius yakni pertentangan fizikal seperti rusuhan kaum. Mana mungkin orang Melayu dan beragama Islam mahu menerima ideologi Komunisme atau orang Cina mahu mengamalkan fahaman ketuanan India, mustahil. Kesannya, perpaduan dan ketahanan nasional negara kita akan semakin rapuh dan secara tidak langsung menjejaskan kestabilan dan kemajuan negara.Â
 Ideologi luar yang dibawa oleh parti-parti politik di Malaysia bersifat tidak holistik atau menyeluruh. Hal ini menyukarkan lagi bagi sebahagian masyarakat menerima ideologi luar yang dibawa kerana timbulnya perspektif negatif, bahawa terdapat golongan yang akan terabai sekiranya ideologi luar diamalkan di negara ini. Bahkan, menurut beberapa kajian yang dilakukan, faktor utama penurunan jumlah pengundi ketika PRU-15 baru-baru ini ialah perasaan muak dan kecewa para pengundi terhadap ahli-ahli politik mereka yang membawa sentimen bersifat perkauman berbanding membentangkan visi, misi dan objektif mereka kepada pengundi. Hal ini disebabkan oleh, kemasukan ideologi-ideologi luar oleh tokoh-tokoh politik yang melahirkan pelapis yang terlalu ekstrem dan obses terhadap ideologi luar mereka. Perkembangan demokrasi di Malaysia turut terjejas oleh pengaruh ideologi luar melalui penurunan jumlah rakyat yang keluar mengundi. Oleh itu, Rukun Negara diperlukan dalam mengembalikan momentum demokrasi, perpaduan dan kemajuan negara kita. Maka, tibalah saatnya, masyarakat membawa Rukun Negara ke suatu tahap yang lebih tinggi iaitu penglibatan Rukun Negara dalam dunia politik sebagai ideologi bagi menentang ideologi luar. Keberadaan Rukun Negara dalam kancah politik negara dapat menstabilkan situasi politik negara di samping menjamin kemajuan dan kemakmuran.
 Namun, usaha membawa Rukun Negara sebagai naratif baharu dalam politik nasional perlu dilakukan segera sebelum kita kesuntukkan masa. Mengambil contoh peristiwa dari jiran kita iaitu Republik Indonesia di era Demokrasi Terpimpin yang di mana majoriti rakyatnya ketika itu belum memahami sepenuhnya politik. Ir.Soekarno telah memperkenalkan ideologi Pancasila yang berperanan sebagai ideologi negara dan rakyat. Pancasila bertindak sebagai ideologi utama Republik tersebut. Tetapi, ketika itu fahaman Komunisme dan Islamisme sudah tersebar luas dan dianuti di Indonesia dengan ekstrem. Walaupun Ir.Soekarno telah menggabungkan ideologi Nasionalisme, Agama'isme (Islamisme) dan Komunisme menjadi satu gerakan (NASAKOM), namun usahanya gagal dan sebaliknya rakyatnya bertindak memusuhi sesama sendiri sehingga dirinya dijatuhkan oleh golongan Nasionalis (Tentera). Oleh itu, pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut, Rukun Negara bukannya perhiasan semata-mata, namun Rukun Negara ialah asas dan identiti nasional bagi seorang warganegara Malaysia. Perbalahan antara kelompok-kelompok politik tertentu yang cuba menjadikan ideologi mereka sebagai majoriti dan dominan hanyalah kerja yang sia-sia dan merisikokan perpaduan negara kita. Sepatutnya kita perlu kembali kepada fitrah dengan berbalik dengan Rukun Negara kerana itulah satu-satunya ideologi yang sesuai untuk Malaysia yang membawa kemakmuran dan kemajuan jauh lebih berkesan dan bermakna berbanding ideologi luar yang hanya membantutkan perpaduan, kemakmuran dan kemajuan negara kita.
Follow Instagram @kompasianacom juga Tiktok @kompasiana biar nggak ketinggalan event seru komunitas dan tips dapat cuan dari Kompasiana. Baca juga cerita inspiratif langsung dari smartphone kamu dengan bergabung di WhatsApp Channel Kompasiana di SINI