Bebalisme merupakan satu istilah yang dikemukakan oleh Intelektual Islam Almarhum Syed Hussein Alatas. Beliau menyimpulkan dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun bahawa Bebalisme bukan sekadar satu bentuk kebodohan biasa, tetapi suatu keadaan sosial dan intelektual yang sistematik dalam masyarakat. Fenomena yang bukan sahaja melemahkan daya fikir tetapi juga membantutkan kemajuan dan keupayaan masyarakat untuk membebaskan diri daripada belenggu kejumudan. Dalam kerangka pemikiran Alatas, Bebalisme merujuk kepada sejenis ketumpulan pemikiran yang diwarisi dari generasi ke generasi yang bukan sahaja membenarkan kebodohan berterusan tetapi juga menutup sebarang kemungkinan untuk anjakan intelektual dan sosial. Namun, polemik ini bukan sekadar fenomena individu, sebaliknya Bebalisme adalah simptom penyakit sosial yang lebih besar. Bebalisme tidak wujud dalam keadaan vakum, sebaliknya berakar dalam sistem politik, ekonomi dan budaya yang menggalakkan kepatuhan membuta tuli, memperkukuh hierarki tidak rasional dan menolak perubahan yang bersifat kritis. Dengan kata lain, bebalisme adalah manifestasi daripada struktur sosial yang menolak rasionaliti demi mengekalkan status quo yang tidak produktif. Â Bebalisme bukan sekadar kecenderungan individu untuk menjadi malas berfikir tetapi melibatkan jaringan sistemik yang mencorakkan minda dan tindakan masyarakat. Salah satu manifestasi utamanya adalah ketidakupayaan masyarakat untuk membezakan antara maklumat yang bermakna dengan propaganda yang direka untuk mengekalkan kekuasaan golongan tertentu. Mungkin tidak boleh berfikir secara kritis. Lihat sahaja bagaimana masyarakat mudah terpengaruh dengan retorik kosong yang tidak berpijak pada asas rasional. Di dalam politik, wujud fenomena di mana rakyat menerima bulat-bulat janji-janji tanpa menilai sama ada janji manis mereka itu berlandaskan realiti atau sekadar manipulasi sentimen. Mereka tidak bertanya soalan kritikal, tidak menuntut kebertanggungjawaban dan lebih rela menjadi penerima pasif kepada naratif yang disuap oleh politikus. Bebalisme juga dapat dilihat dalam budaya kerja dan pentadbiran. Dalam banyak sektor, keputusan dibuat bukan berdasarkan kebijaksanaan atau kecekapan, tetapi melalui hubungan peribadi, ketundukan kepada autoriti dan pematuhan terhadap protokol yang tidak membawa nilai tambah. Struktur birokrasi yang tidak fleksibel dan pengulangan kesilapan yang sama tanpa refleksi kritikal serta keengganan untuk menerima perubahan yang diperlukan adalah antara bentuk Bebalisme yang memperlahankan misi transformasi Malaysia. Sekarang kita beralih pula ke bidang pendidikan, kita menyaksikan bagaimana sistem dan kurikulum yang disediakan lebih menekankan hafalan berbanding pemikiran kritikal. Dalam konteks ini, pelajar dilatih untuk mengulangi fakta tanpa mengerti konteksnya, manakala guru mengajar dengan pedagogi yang tidak menggalakkan soal jawab dan universiti lebih sibuk dengan penghasilan sijil berbanding pembentukan intelektual yang mandiri. Hal ini akan melahirkan generasi yang berilmu secara permukaan tetapi tidak mampu berfikir dengan mendalam dan menyumbang kepada penyelesaian masalah yang kompleks. Â
Jika diperhatikan dengan lebih mendalam, bebalisme bukanlah sesuatu yang terjadi secara tidak sengaja, waima sering dijadikan alat oleh golongan yang berkepentingan untuk memastikan masyarakat kekal dalam keadaan yang tidak mampu mencabar hegemoni yang sedia ada. Salah satu mekanismenya ialah melalui penciptaan mitos-mitos sosial yang memperkukuh struktur yang tidak adil. Tamsilnya, kepercayaan bahawa pemimpin tertentu memiliki keistimewaan semula jadi yang tidak boleh dicabar ataupun bahawa nasib seseorang telah ditentukan sepenuhnya oleh takdir dan bukannya usaha serta kebijaksanaan. Sungguh karut! Dengan adanya mitos-mitos seperti ini, masyarakat akan lebih cenderung menerima keadaan mereka tanpa persoalan yang menjadikan mereka tidak kritikal terhadap ketidakadilan yang berlaku di sekeliling mereka. Selain itu, sistem pendidikan yang menekan pemikiran kritikal juga memainkan peranan besar dalam mengekalkan bebalisme. Jika kita melihat kepada kebanyakan negara membangun, sistem pendidikan direka bukan untuk mencetuskan persoalan tetapi untuk mencetak individu yang patuh kepada autoriti tanpa pertimbangan rasional. Tindakan yang akan mematikan kreativiti dan rasionalisme generasi muda. Pelajar diajar untuk menerima jawapan yang diberikan oleh guru tanpa dibenarkan untuk mempersoalkan keabsahannya. Sikap ini berlanjutan hingga ke alam pekerjaan dan kehidupan sosial, di mana sebarang bentuk pertanyaan kritikal dianggap sebagai ancaman kepada keharmonian dan kestabilan. Hal ini mengelakkan berlakunya dialektika dalam masyarakat sehingga tidak memungkinkan upaya membangunkan intelektualisme masyarakat. Bebalisme juga diperkukuh melalui media massa dan budaya popular yang lebih menekankan hiburan dangkal berbanding pemikiran yang mencabar. Industri media moden sering dipenuhi dengan kandungan sensasi, hiburan berlebihan dan naratif yang mengukuhkan status quo. Masyarakat disogok dengan isu-isu remeh yang tidak memberi nilai tambah kepada pembangunan intelektual, sementara persoalan-persoalan besar seperti ketidaksamaan ekonomi, penindasan politik dan kebertanggungjawaban kerajaan diketepikan atau hanya dibahas secara superficial. Bahkan, terkadang pihak kerajaan menutup mulut-mulut media dan memotong lidah media yang cuba menentang arus kejahilan ini.
Sekiranya bebalisme ingin diatasi, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara masyarakat memahami dan merespons dunia sekeliling mereka. Perubahan ini bukan sekadar bersifat kosmetik atau superfisial, tetapi memerlukan transformasi radikal dalam budaya intelektual, pendidikan dan politik. Â
Syed Hussein Alatas telah memberikan kita dengan beberapa bayangan solusi. Antara langkah-langkah ke arah menghapuskan bebalisme adalah dengan membangunkan budaya intelektual yang subur dalam masyarakat. Hal ini bermaksud menggalakkan pemikiran kritikal dari peringkat awal pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Oleh itu, sistem pendidikan mesti beralih daripada model hafalan semata-mata kepada model yang mengutamakan pemahaman, analisis dan perdebatan. Pendidikan juga perlu menanamkan semangat bertanya. Pelajar harus digalakkan untuk mempersoalkan apa sahaja, bukan kerana ingin menentang secara membuta tuli, tetapi untuk memastikan setiap hujah atau maklumat yang diterima benar-benar berlandaskan logika. Dalam konteks ini, para guru dan pensyarah harus memainkan peranan sebagai fasilitator pemikiran dan bukannya sekadar penyampai maklumat yang tidak boleh dipersoalkan. Â
Sebahagian besar masalah bebalisme berpunca daripada kepercayaan terhadap mitos-mitos sosial yang tidak berasaskan rasionaliti. Oleh itu, satu usaha besar perlu dilakukan untuk membebaskan masyarakat daripada mitos-mitos ini. Sebagai contoh, mitos bahawa hanya golongan tertentu sahaja yang layak memimpin perlu dicabar (mungkin merujuk kepada sistem Monarki) dengan penekanan kepada meritokrasi dan kebolehan sebenar. Masyarakat harus diajar bahawa pemimpin bukanlah individu yang perlu disembah atau dipuja secara membuta tuli, tetapi seorang yang harus dinilai berdasarkan prestasi dan kejujurannya dalam menjalankan tanggungjawab. Begitu juga dengan kepercayaan bahawa keadaan sosio-ekonomi seseorang telah ditentukan oleh takdir semata-mata adalah naratif yang digunakan untuk memastikan golongan bawahan kekal dalam keadaan mereka tanpa berusaha untuk memperbaiki kedudukan sosial mereka. Sepatutnya, masyarakat harus difahamkan bahawa perubahan hanya boleh berlaku apabila mereka sendiri bertindak untuk mengubah nasib mereka.
Usaha memulihkan bangsa daripada penyakit Bebalisme perlu dimulakan dengan melawan punca atau akar penyakit. Media mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat. Justeru, perlu ada usaha untuk memastikan bahawa media tidak hanya berfungsi sebagai alat hiburan atau propaganda, tetapi juga sebagai medium pencerahan dan pendidikan. Kandungan media harus lebih menekankan isu-isu yang membangunkan kesedaran sosial, politik dan ekonomi. Selain itu, diskusi yang lebih mendalam mengenai struktur kuasa, ketidaksamaan dan penyalahgunaan autoriti harus menjadi perkara biasa dalam media arus perdana. Namun, hal ini boleh direalisasikan jika masyarakat sendiri mula menuntut kandungan yang lebih berkualiti dan tidak sekadar menerima apa sahaja yang disajikan kepada mereka. Â
Salah satu ciri utama masyarakat yang bebas daripada Bebalisme menurut Intelektual Agung Islam itu ialah wujudnya budaya kebertanggungjawaban di semua peringkat sama ada daripada individu hingga ke institusi kerana masyarakat yang sihat adalah masyarakat yang berani menuntut kebertanggungjawaban daripada pemimpin mereka, menolak sebarang bentuk penyelewengan dan tidak mudah tunduk kepada tekanan autoriti yang tidak sah. Dalam hal ini, undang-undang dan institusi keadilan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengekang penyalahgunaan kuasa. Jika individu atau pemimpin melakukan kesalahan, mereka harus dihukum tanpa mengira status atau kedudukan mereka. Budaya "pilih kasih" yang membolehkan golongan elit terlepas daripada keadilan hanya akan memperkukuh Bebalisme dalam masyarakat. Â
Konklusinya, dapatlah kita simpulkan bahawa Bebalisme bukan sekadar masalah individu yang malas berfikir tetapi satu penyakit sosial yang lebih besar yang melibatkan sistem pendidikan, budaya politik dan peranan media dalam membentuk pemikiran masyarakat. Bahana ini bukan sahaja menghalang pembangunan intelektual, tetapi juga menjadi alat kawalan sosial yang memastikan golongan tertentu terus berkuasa tanpa tentangan yang signifikan. Oleh itu, untuk mengatasi Bebalisme, satu anjakan paradigma diperlukan. Masyarakat perlu membangunkan budaya pemikiran kritikal yang menolak mitos-mitos yang memperkukuh status quo yang tidak adil, menuntut media yang lebih berkualiti dan memastikan kebertanggungjawaban dalam semua aspek kehidupan sosial. Jika perubahan ini tidak dilakukan, masyarakat akan terus terperangkap dalam kitaran kebodohan yang berulang-ulang. Lalu, menjadi mangsa kepada mereka yang memahami bagaimana untuk mengeksploitasi kejahilan bagi kepentingan mereka sendiri, tetapi jika anjakan paradigma ini berjaya, maka kita bukan sahaja dapat mengatasi bebalisme, tetapi juga membina sebuah masyarakat yang lebih rasional, progresif dan bermaruah.
Follow Instagram @kompasianacom juga Tiktok @kompasiana biar nggak ketinggalan event seru komunitas dan tips dapat cuan dari Kompasiana. Baca juga cerita inspiratif langsung dari smartphone kamu dengan bergabung di WhatsApp Channel Kompasiana di SINI