Akhir-akhir ini, kita sering mendengar istilah "rakyat marhaen" bergema di media sosial mahupun ruangan informatik kerajaan. Pada umumnya, sebahagian masyarakat Malaysia menggangap bahawa frasa tersebut merujuk kepada golongan rakyat yang miskin ataupun dalam konteks ekonomi disebut golongan B40. Namun, jauh sebelum Menara Berkembar Petronas dibangunkan, terdapat sebuah parti politik yang turut menggunakan istilah Marhaen dalam partinya. Apa yang lebih menarik parti tersebut menjadikan Marhaen itu sendiri sebagai orientasi gerakannya. Tetapi, apakah sebenarnya Marhaen ini?
Ungkapan Marhaen merupakan istilah yang merujuk kepada penganut atau pengamal ideologi Marhaenisme yang digagaskan oleh Almarhum Ir. Sukarno, ideologi ini sendiri merupakan hasil daripada olahan Marxisme dan Pancasila serta dilengkapi dengan unsur nasionalisme sebagai ideologi alternatif kepada rakyat Indonesia ketika itu. Sebagai sebuah fahaman nasionalis berhaluan kiri semestinya Marhaenisme menumpukan perjuangan dalam membina masyarakat sosialis dan menentang kapitalisme. Jika di Indonesia ideologi tersebut mendapat sambutan yang meriah, negara di sekitarnya juga tidak terkecuali termasuk Malaysia dan Brunei. Di Malaysia sendiri idea tersebut mendapat tempat dalam pelbagai gerakan politik dan sosial sebagai inisiatif menuntut kerajaan bertindak lebih berkebajikan kepada rakyat.
Marhaenisme cukup popular dalam kalangan rakyat bawahan yang kebiasaannya berkecimpung dalam bidang buruh dan agraria kerana ideologi berkenaan menawarkan masa hadapan yang lebih baik. Dalam konteks di Malaysia, Marhaenisme ini sendiri bukanlah asing dengan kewujudannya di Malaya telah dikesan sejak pra-kemerdekaan lagi. Ideologi itu telah dipelopori oleh parti-parti berhaluan kiri yang menentang sistem Kolonialisms dan Feudalisme, pada tahun 1945 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpim Almarhum Ahmad Boestamam dan Almarhum Dr. Burhanuddin merupakan parti pertama yang membawa Marhaenisme ke kancah politik Malaya ketika itu. Slogan "Merdeka dengan Darah" yang dipopularkan oleh golongan marhaenis Malaya telah berjaya menarik sokongan orang-orang Melayu khususnya mereka yang dihimpit kemiskinan, idea yang dipengaruhi Sosialisme dan Sosio-nasionalisme turut mengukuhkan lagi kedudukan Marhaenisme sebagai prinsip utama parti.Â
Perjuangan Marhaenisme terus subur walaupun PKMM dibubarkan dengan tertubuhnya Parti Ra'ayat (kemudian Parti Marhaen) pada tahun 1955 yang masih dipimpin oleh Ahmad Boestamam, di mana beliau membawa naratif perjuangan menentang kapitalisme. PRM juga dilihat agresif menentang penglibatan British dalam hal ehwal negara sehingga timbul konflik antara politikus PR dengan pihak British. Kemuncak daripada kegemilangan gerakan politik Marhaenisme itu menyerlah apabila Almarhum Ahmad Boestamam berjaya menyatukan parti-parti berhaluan kiri di Malaysia melalui pakatan politik yang dipanggil Barisan Sosialis atau 'Socialist Front' pada era 60an, pakatan tersebut berjaya menguasai beberapa Majlis Bandaran dan merangkul kerusi di peringkat Dewan Undangan dan Dewan Rakyat.
Namun, peristiwa pemberontakan Komunis di Malaya dan tragedi 13 Mei 1969 telah menghambat pergerakan parti-parti politik berhaluan kiri. Tidak terkecuali PRdan parti-parti komponen dalam Barisan Sosialis yang telah mengalami tekanan yang luar biasa daripada pihak kerajaan. Propaganda yang mengaitkan fahaman Sosialisme dan Marhaenisme dengan Komunisme benar-benar melumpuhkan perkembangan politik berhaluan kiri, pemimpin-pemimpin Melayu yang sebelum ini terkenal dengan perjuangan kelas pekerja telah dipenjara oleh kerajaan dibawah Akta ISA. Ketiadaan para pemimpin tersebut membuatkan pergerakan politik Marhaenisme terhenti dan pada akhirnya mengubur ideologi tersebut. Sebahagian besar daripada pemimpin-pemimpin tersebut seperti Ahmad Boestamam telah dituduh sebagai pengkhianat negara kerana menghidupkan Marhaenisme yang berasal daripada Republik Indonesia. Walaupun terdapat usaha untuk menghidupkan kembali fahaman Marhaenisme di Malaysia seperti penubuhan semula Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) namun pada akhirnya telah menemui jalan gagal apabila PSRM telah diharamkan oleh pihak kerajaan dan berlaku konflik internal dalam parti.
Kini, Parti Rakyat Malaysia masih lagi wujud dengan mengekalkan logo lamanya. Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada Marhaenisme masih lagi menjadi orientasi mereka atau sekadar peserta dalam pesta demokrasi kelak. Marhaenisme sememangnya berjasa dalam usaha melahirkan rakyat yang memahami politik dan demokrasi. Masa hadapan gagasan idea ini bergantung sepenuhnya dengan kekuatan rakyat jika mereka memerlukan panduan yang jelas dalam menuntut pembentukan masyarakat sosialis.
Selagi ada Marhaenis yang berjuang, selagi itu Marhaenisme tidak akan mati.
Follow Instagram @kompasianacom juga Tiktok @kompasiana biar nggak ketinggalan event seru komunitas dan tips dapat cuan dari Kompasiana. Baca juga cerita inspiratif langsung dari smartphone kamu dengan bergabung di WhatsApp Channel Kompasiana di SINI