Politik Sabah tidak pernah dapat diramal dengan tenang. Setiap kali pilihan raya negeri berlangsung, rentak dan coraknya berbeza; penuh dengan teka-teki. Tidak ada sesiapa yang benar-benar mampu meramalkan dengan tepat siapa yang akan menduduki kerusi empuk di Wisma Seri Kinabalu setiap kali pilihan raya negeri berlangsung. Berdasarkan pemerhatian penulis, tidak ada pola tetap yang boleh dijadikan rujukan mutlak kerana Sabah sentiasa hidup dengan anomali. PRN kali ini bakal membuktikan bahawa faktor komposisi kaum masih menjadi tiang utama dalam menentukan corak sokongan, meskipun wacana pembangunan dan integriti cuba dijadikan naratif baharu oleh parti politik.
Apabila kita menyebut komposisi kaum, perkara merujuk kepada susunan peratusan etnik atau suku bangsa yang mendiami sesuatu kawasan pilihan raya. Sabah bukan seperti Semenanjung yang hanya didominasi oleh tiga kelompok besar Melayu, Cina dan India. Di sini, kepelbagaian itu bersifat terperinci; meliputi puluhan etnik seperti Bajau, Suluk, Bugis, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Lundayeh, Bisaya, Iranun, Tidung dan Brunei. Setiap satunya membawa nilai budaya tersendiri yang pada akhirnya diterjemahkan dalam bentuk kesetiaan politik. Oleh sebab itu, memahami politik Sabah memerlukan kefahaman tentang geografi etniknya, bukan sekadar parti dan manifesto.
Umum mengetahui bahawa Sabah mempunyai 73 kerusi DUN yang boleh dibahagikan kepada empat jenis, berdasarkan kaca mata penulis.
Pertama, kerusi Bumiputera Islam adalah kawasan yang jumlah pengundi beragama Islam daripada etnik Bumiputera melebihi 50 peratus. Antaranya di pantai timur seperti Bugaya, Senallang, Tanjung Batu, Merotai, Kunak dan Tungku serta sebahagian di pantai barat seperti Pantai Manis dan Bongawan.
Kedua, kerusi Bumiputera bukan Islam seperti kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus membentuk majoriti. Kawasan ini banyak tertumpu di pedalaman seperti Tambunan, Paginatan, Nabawan, Melalap, Sook dan Kundasang.
Ketiga, kerusi bukan Bumiputera yakni, kawasan yang didominasi oleh masyarakat Cina seperti Luyang, Api Api, Tanjung Aru, Elopura, Sandakan dan Karamunting.Â
Keempat, kerusi campuran yang tidak mempunyai satu kaum pun melebihi 50 peratus, biasanya di kawasan urban dan pinggir bandar seperti Inanam, Moyog, Likas dan Kapayan.
Daripada keseluruhan 73 kerusi, kira kira 25 adalah kerusi Bumiputera Islam, 20 kerusi Bumiputera bukan Islam, 10 kerusi bukan Bumiputera dan 18 kerusi campuran. Maka, hal ini menjadikan komposisi Bumiputera Islam sebagai kumpulan majoriti dari segi bilangan kerusi, namun tidak bermakna mereka menjadi blok politik yang padu. Perpecahan politik antara parti yang mewakili kelompok ini menjadikan mereka tidak pernah benar benar mendominasi politik negeri secara tunggal. Realitinya, Sabah sentiasa diperintah melalui gabungan pelbagai kaum dan parti, bukan oleh satu kumpulan etnik semata-mata.
Dalam PRN kali ini, gelanggang utama memperlihatkan tiga blok besar iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Namun, di bawah permukaannya, setiap blok ini mengandungi pelbagai parti dengan ideologi dan kepentingan yang berbeza. Dalam GRS terdapat PGRS, USNO, LDP, PHRS, PBS dan PCS. BN pula terdiri daripada UMNO, PBRS dan MCA. PH menampilkan kombinasi parti nasionalnya seperti PKR, AMANAH, DAP dan UPKO. Di luar ketiga-tiga blok ini pula, berdiri beberapa parti solo seperti Parti Warisan Malaysia (WARISAN), PKDM dan Parti Impian Sabah. Ditambah pula dengan kemunculan Gelombang Hitam yang terdiri daripada calon calon bebas, maka penulis menjangkakan bahawa suasana PRN kali ini lebih rumit daripada mana-mana PRN sebelumnya.
GRS memiliki kelebihan sebagai kerajaan negeri sedia ada. GRS yang dipimpin oleh Hajiji Noor dijangka mempertahankan beberapa kerusi Bumiputera Islam dan campuran di pantai barat seperti Sulaman, Kiulu, dan Usukan. Namun kekuatan GRS tidak serata kerana PBS yang bernaung di bawahnya masih mempunyai agenda tersendiri di kawasan pedalaman. USNO pula walaupun masih kecil, cuba menghidupkan kembali nostalgia zaman Mustapha Harun dengan retorik Islam dan Bumiputera yang kuat. Dalam GRS sendiri ada persaingan dalaman yang boleh melemahkan jentera apabila berlaku pertindihan pengaruh antara PBS, PHRS dan PCS. Kelemahan ini mungkin membuka ruang kepada parti luar untuk menyelinap masuk.