Mohon tunggu...
Nady.M
Nady.M Mohon Tunggu... Pelajar

Ayuh kita bersama-sama membangunkan Intelektualisme bangsa ini!

Selanjutnya

Tutup

Politik

KOLUM | Formula Kerjasama: PH menjadi rebutan PRN Sabah

30 April 2025   16:55 Diperbarui: 8 September 2025   23:27 91
+
Laporkan Konten
Laporkan Akun
Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.
Lihat foto
Gambar hiasan. (Sumber: Kompasiana.com)

Politik Malaysia bukan lagi soal prinsip namun telah menjadi soal formula. Formula itu sentiasa berubah mengikut siapa yang berada dalam posisi menggenggam kuasa. Kini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025, satu formula baharu sedang dirumus: Formula Bekerjasama. Namun yang menarik, kali ini ia bukan soal siapa perlu bekerjasama dengan siapa, tetapi siapa yang paling memerlukan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama politik.

PH yang sebelum ini dilihat sebagai 'penumpang kuasa' di Sabah, kini berubah wajah menjadi rebutan dua poros utama yakni Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN). Kedua-duanya mengintai kerjasama strategik dengan PH, bukan kerana cinta ideologi, tetapi kerana kalkulus kuasa.

GRS sebagai kerajaan negeri sedia ada, amat menyedari bahawa landskap politik Sabah bukan lagi tentang kekuatan lokal semata-mata seperti mana yang dilaung-laungkan oleh USNO, PBS dan STAR. Namun, berhubung terus dengan gelombang di peringkat Persekutuan. Maka tidak hairan apabila GRS menunjukkan minat untuk meneruskan kerjasama dengan PH satu formula yang terbukti stabil sejak pembentukan kerajaan perpaduan di Putrajaya. Bagi GRS, PH bukan sahaja membawa sokongan Persekutuan, tetapi juga membawa akses kepada sumber, peruntukan dan kestabilan birokrasi yang sangat diperlukan untuk memastikan kesinambungan pentadbiran negeri. Dalam keadaan Sabah masih berdepan isu pembangunan luar bandar, kemiskinan struktural dan ketidakseimbangan fiskal, kerjasama dengan Persekutuan bukan pilihan namun sebagai keperluan. Maka PH menjadi jambatan. Dalam bahasa mudah, PH ialah pas keselamatan GRS untuk terus relevan dalam gabungan kuasa pusat-negeri. Tanpa PH, GRS hanya tinggal struktur politik tempatan yang mudah dipinggirkan oleh pusat. GRS tahu mereka memerlukan perisai federal dan PH ialah perisai itu.

Sekarang kita beralih ke sisi lain pula, BN yang sedang asyik menyusun percaturannya yang penuh ironi. Parti yang pernah menjadi lawan paling lantang kepada PH, kini menyusun langkah agar kelihatan mesra, bahkan bersedia bekerjasama atas nama kerajaan perpaduan. Kepada pengundi yang punya memori pendek, ini mungkin kelihatan seperti kematangan politik. Namun kepada mereka yang masih punya ingatan dan sedikit maruah analisis, ini bukan kematangan menurut penulis, tetapi ini ialah desperasi. BN tidak lagi punya kekuatan untuk berdiri sendiri di Sabah. Mereka telah kehilangan tapak, jentera dan kepercayaan sejak PRU14. Dalam keadaan yang terdesak, BN melihat PH sebagai talian hayat. Mereka sedar bahawa tanpa kerjasama strategik dengan PH, peluang untuk menembusi kerusi-kerusi utama di Sabah adalah tipis. Lagipun, dalam konteks kerajaan perpaduan yang sedang mentadbir Malaysia di peringkat pusat, adalah mustahil untuk BN berkempen menentang PH secara total di Sabah tanpa menjerat diri sendiri dalam percanggahan naratif nasional.

Apa yang lebih menariknya, semua ini meletakkan PH di posisi paling strategik dalam PRN Sabah. Jika dahulu mereka dilihat sebagai pihak luar, kini mereka adalah pemain tengah yang menentukan hala tuju gabungan. PH bukan sahaja memiliki kekuatan jentera di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dan Penampang, tetapi juga telah berjaya memperluas pengaruh di kawasan campuran dan separa luar bandar. Mereka tidak lagi asing kepada pengundi Sabah. Mereka kini sebahagian daripada naratif pembangunan dan persekutuan yang diharapkan rakyat. Lebih penting lagi, PH mempunyai imej reformis yang lebih bersih berbanding BN dan jaringan federal yang lebih kukuh berbanding GRS. Hal inj menjadikan mereka pilihan 'terpaksa' untuk kedua-dua pihak yang ingin menang, GRS untuk mempertahankan kuasa, dan BN untuk kembali relevan.

Namun di sebalik slogan kerjasama dan kestabilan, formula ini juga mendedahkan satu sisi gelap politik Malaysia yakni ketandusan prinsip. Politik kerjasama ini bukan dibina atas asas ideologi atau prinsip perjuangan rakyat, tetapi atas kesesuaian kuasa. Dalam erti kata lain, PH bukan menjadi rebutan kerana nilai perjuangan mereka, tetapi kerana keperluan taktikal oleh dua pihak yang sudah kehilangan arah. Hal ini bukan soal penghormatan kepada PH, tetapi penunjuk kepada kelemahan struktur politik Sabah yang terus bergantung kepada faktor luar untuk kekal berfungsi.

Apakah ini bermakna kerjasama akan membawa kestabilan? Mungkin ya, tetapi kestabilan yang bersifat kosmetik. Dalam keadaan masing-masing membawa beban sejarah dan cita-cita yang berbeza, kerjasama seperti ini hanya menunggu masa untuk retak. Seperti mana yang telah berlaku di Perak, Melaka, dan Johor yang dimana kerjasama politik tanpa asas prinsip sering berakhir dengan pengkhianatan dan krisis legitimasi.

Pada pendapat penulis, GRS sebagai entiti politik Sabah mempunyai cita-cita tersendiri untuk memperjuangkan hak negeri dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memajukan ekonomi luar bandar, dan mengekalkan autonomi pentadbiran. Namun, semua itu tidak akan bermakna jika mereka gagal menyesuaikan diri dengan realiti politik pusat. PH dalam konteks ini menjadi penghubung kepada kerajaan Persekutuan. Dengan bekerjasama, GRS boleh memastikan peruntukan projek pembangunan tidak tersekat, dasar federalisasi tidak melampaui batas, dan agenda MA63 mendapat tempat dalam agenda nasional. Lebih penting, kerjasama ini memberi ruang kepada GRS untuk menjual naratif "politik matang" kepada rakyat Sabah. GRS juga sedar bahawa berdepan PRN tanpa kerjasama PH berisiko memecah undi, terutamanya di kawasan campuran. PH mempunyai sokongan tegar yang tidak mudah berpindah dan memecahkan undi mereka hanya akan menguntungkan pembangkang tulen seperti Warisan atau KDM.

BN, berbeza dengan GRS, tidak punya kekuatan lokal yang konsisten di Sabah. Sejak kehilangan kerajaan negeri dan federal, BN semakin menjadi entiti yang bergantung kepada bayang-bayang sejarahnya. Mereka tidak punya tokoh tempatan yang cukup kuat untuk menjadi pemimpin gelombang baharu. Maka PH menjadi alternatif untuk dikaitkan kembali dengan kuasa. Kerjasama dengan PH akan membolehkan BN menunggang naratif kerajaan perpaduan dan kembali ke gelanggang dengan imej yang lebih 'responsible'. Ia juga memberi mereka peluang untuk 'menebus' imej kerosakan lama dengan bergabung dalam misi kestabilan dan pembangunan. Namun risiko bagi BN adalah besar. Setiap kerjasama yang tidak berpaksikan prinsip akan menghakis kepercayaan akar umbi mereka sendiri, terutamanya dalam kalangan penyokong tradisi yang masih menganggap PH sebagai musuh ideologi.

Konklusinya para pembaca sekalian, politik Sabah sejak sekian lama menjadi tempat percubaan untuk formula-formula kuasa dari pusat. Cuma kali ini, Formula Bekerjasama sekali lagi akan diuji oleh GRS dan BN, tetapi juga oleh pengundi yang semakin celik dan skeptikal. PH berada di posisi terbaik untuk memanfaatkan keadaan ini. Tetapi dengan kedudukan itu datang tanggungjawab: untuk tidak sekadar menjadi alat percaturan kuasa, tetapi menjadi penentu arah masa depan Sabah. Sekiranya kerjasama ini hanya demi kuasa dan bukan demi rakyat, maka ia hanya mengulangi kegagalan yang sama. Maka pilihan yang harus dibuat bukan soal siapa bekerjasama dengan siapa, tetapi untuk apa mereka bekerjasama.

Rakyat Sabah sudah lama menunggu satu bentuk politik yang lebih tulen dan bukannya sekadar formula, tetapi falsafah. Bukan sekadar kerjasama, tetapi keikhlasan. Maka sehingga itu berlaku, politik Sabah akan terus menjadi papan catur.

HALAMAN :
  1. 1
  2. 2
Mohon tunggu...

Lihat Konten Politik Selengkapnya
Lihat Politik Selengkapnya
Beri Komentar
Berkomentarlah secara bijaksana dan bertanggung jawab. Komentar sepenuhnya menjadi tanggung jawab komentator seperti diatur dalam UU ITE

Belum ada komentar. Jadilah yang pertama untuk memberikan komentar!
LAPORKAN KONTEN
Alasan
Laporkan Konten
Laporkan Akun