Lihat ke Halaman Asli

Nady.M

Pelajar

KOLUM | Kemana Hilangnya Parti Bersatu Sabah Yang Dahulu?

Diperbarui: 8 September 2025   23:32

Kompasiana adalah platform blog. Konten ini menjadi tanggung jawab bloger dan tidak mewakili pandangan redaksi Kompas.

Bendera Parti Bersatu Sabah (PBS) (Sumber: https://www.sabahpost.net/2019/05/04/perang-poster-bendera-prk-sandakan-hambar/)

Perkembangan Demokrasi di Sabah merupakan salah satu proses yang sering menjadi polemik penganalisis politik, perjalanannya yang rumit dan dinamis menjadikan hegemoni Demokrasi di Sabah tampil unik berbanding daripada landskap politik nasional. Namun, disebalik tempoh tersebut, terdapat sebuah entiti yang memainkan peranan signifikan untuk membentuk masyarakat Sabah yang masak dengan amalan demokrasi.Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menjadi simbol perjuangan rakyat Sabah, terutamanya dalam perjuangan menuntut hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pada era 1980an hingga 1990an merupakan zaman kegemilangan PBS yang menempatkan parti tersebut sebagai pemerintah ketika itu. PBS yang muncul sebagai kuasa utama dalam politik Sabah telah menentang dominasi kerajaan pusat dan seterusnya cuba menegakkan autonomi negeri di bawah bayu ini.

Malang tidak berbau, selepas beberapa dekad. PBS kini hanya menjadi bayangan kepada kegemilangannya yang dahulu, daripada sebuah parti yang lantang dan berpengaruh. Kini PBS semakin hanyut dan menunggu masa untuk terkubur dalam arus politik Sabah, situasi ini meninggalkan kita dengan kemusykilan. Kemana hilangnya PBS yang dahulu?

Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan ( kemudian Tan Sri ) merupakan individu yang bertanggungjawab menghidupkan Parti Bersatu Sabah, tahun 1985 menjadi saksi kebangkitan masyarakat Momogun (KDMR) yang menentang dasar-dasar kerajaan BERJAYA saat itu. Ceritanya bermula apabila Joseph Pairin Kitingan yang ketika itu merupakan Adun Tambunan mewakili Parti BERJAYA, telah mengkritik hampir semua dasar-dasar kerajaan Harris Salleh (kemudian Tan Sri) terutamanya rancangan menukarkan status Bumiputera Sabah ke Peribumi Sabah dan mengubah Pesta Kaamatan/Kokotuan menjadi Pesta Rakyat Sabah. Tindakan tersebut telah menimbulkan kemarahan Harris Salleh kepada Joseph Pairin sehinggalah beliau dipecat daripada BERJAYA dan Adun Tambunan, Joseph Pairin telah memberikan respon yang agak agresif dengan mengancam untuk menumbangkan kerajaan BERJAYA. Harris Salleh yang tidak berdiam diri telah mencabut status daerah Tambunan, hal tersebut memuncak dengan lebih ramai golongan KDMR mulai menyebelahi Joseph Pairin dan menentang BERJAYA.

Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Pengasas PBS dan Huguan Siou Kedua (sumber: wikipedia)

Konflik tersebut telah berjaya menyedarkan masyarakat Momogun untuk bersatu dan menentang Harris Salleh yang mencabar kewibawaan Kaum KadazanDusun, Murut dan Rungus. Klimaksnya terlihat apabila PRK Dun Tambunan menyaksikan kemenangan Joseph Pairin sebagai Adun Tambunan semula dengan majoriti yang luar biasa. Pengaruh Joseph Pairin semakin menguat apabila beliau dipilih sebagai Huguan Siou (Pemimpin Spiritual KDMR) yang secara langsung menguatkan kepercayaan masyarakat Momogun kepada beliau, pada akhirnya Joseph Pairin telah menubuhkan Parti Bersatu Sabah. Gelombang kebangkitan tersebut telah menyebar ke seluruh Sabah dengan harapan perubahan kepada negeri tersebut, tidaklah sehingga PRN Sabah terlangsung dan menyaksikan PBS berjaya memenangi PRN tersebut.

Setelah hampir 3 penggal memerintah Sabah, PBS terus agresif menyerang kuasa politik luar apabila parti pimpinan Huguan Siou itu menyertai BN secara tiba-tiba, Kuala Lumpur ketika itu menyambut mereka dengan baik. Tetapi beberapa saat sebelum penamaan calon, PBS telah keluar daripada BN. Hal tersebut menyaksikan PRN Sabah tanpa logo Barisan Nasional. Namun, pada tahun 1994. Semuanya berubah, apabila PBS telah terjerumus dalam pergolakan politik yang dramatik. PBS yang dinyatakan sebagai pemenang Pilihan Raya Negeri ketika itu, telah kehilangan kuasa kepada UMNO. Operasi "tawar-menawar" oleh UMNO ketika itu membuahkan hasil dengan berjaya "membeli" ahli politik PBS, beberapa Adun yang mewakili PBS telah berpaling tadah menyokong UMNO menyebabkan kerajaan PBS runtuh.

Kejatuhan Parti Bersatu Sabah semakin ketara apabila mereka yang sudah lebih satu dekad bergelar pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sabah telah membuat keputusan yang kontroversi, PBS dengan mengejut telah menyertai semula Barisan Nasional pada tahun 2002. Langkah tersebut mengundang kritikan masyarakat termasuklah ahli-ahli PBS sendiri, jika Joseph Pairin sebelum ini lantang menyerang UMNO namun pada akhirnya bekerjasama dengan mereka. Masyarakat Momogun beranggapan bahawa Joseph Pairin dan PBS telah mengkhianati prinsip perjuangan asal parti tersebut, hal ini mengakibatkan pengaruh PBS merosot dan kelihatan tidak berprinsip di mata rakyat Sabah. Setelah menyertai BN, parti pimpinan Huguan Siou itu terus mengalami kehilangan identiti. Pengaruh Joseph Pairin semakin menghilang sama ada dalam politik mahupun pimpinan partinya sendiri, kemunculan parti-parti tempatan lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah menghambat PBS. Apatah lagi STAR yang dibina oleh bekas ahli-ahli PBS yang kecewa dengan Huguan Siou itu dipimpin oleh adiknya sendiri yakni Jeffrey Kitingan ( kemudian Datuk Seri Panglima ).

Kini, PBS ibarat hidup segan, mati tak mahu. Kedudukan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyaksikan PBS hanya berjaya memenangi 7 kerusi sahaja dalam PRN 2020. Parti Bersatu Sabah bukanlah lagi dibawah pimpinan Huguan Siou, PBS hanyalah salah satu komponen kecil dalam politik Sabah.

Konklusinya, PBS telah kehilangan taringnya dalam landskap politik Sabah, parti tersebut kini hanya sebahagian daripada bayangan sejarahnya sendiri. Permainan politik yang tidak konsisten, tekanan kerajaan pusat dan ketidakmampuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan politik menjadi alasan utama disebalik kehilangan Parti Bersatu Sabah yang dahulu. Jika PBS cuba menghidupkan karakternya semula sebagai gergasi dalam hegemoni politik Sabah, mereka perlu kembali ke sifat asal mereka iaitu agresif. Agresif dalam perjuangan membela hak sabah, agresif dalam menentang kuasa politik luas. PBS akan terus menjadi sejarah, dikenang sebagai lokomotif zaman kegemilangan masyarakat Momogun. (akan diulas oleh penulis pada lain artikel kelak)

Follow Instagram @kompasianacom juga Tiktok @kompasiana biar nggak ketinggalan event seru komunitas dan tips dapat cuan dari Kompasiana. Baca juga cerita inspiratif langsung dari smartphone kamu dengan bergabung di WhatsApp Channel Kompasiana di SINI




BERI NILAI

Bagaimana reaksi Anda tentang artikel ini?

BERI KOMENTAR

Kirim

Konten Terkait


Video Pilihan

Terpopuler

Nilai Tertinggi

Feature Article

Terbaru

Headline