Assalaamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
Tiada siapapun dalam kalangan manusia yang terlepas dari ujian dan masalah dari Allah. Semua tribulasi ini merupakan bukti kasih sayang Allah kepada manusia yang memahami makna kasih sayang. Di samping itu ia juga merupakan bukti balasan baik atau sebaliknya atas setiap perbuatan manusia.
Cuma manusia perlu membidik mindanya sendiri untuk menganalisa, mengambil iktibar atau menjadikan ia kayu ukur dalam menilai atau memuhasabah diri atas setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya.
Pengorbanan juga adalah lumrah kehidupan. Ia aktiviti rutin buat manusia. Setiap saat, setiap jam, setiap hari dan sepanjang masa; kita sebenarnya sering melakukan pengorbanan dalam hidup. Kita harus melihat betapa hidup ini mesti dilalui dengan penuh redha, ikhlas dan penuh jasa buat insan-insan yang memerlukan. Semuanya kerana Allah swt. Bukan untuk diminta balas oleh sesiapa tetapi untuk kepuasan dan nikmat kelebihan yang dianugerahkan Allah buat kita.
Ujian yang paling besar buat manusia adalah kelebihan yang ada pada dirinya bukan kelemahannya. Kelebihan itu merangkumi, tubuh badan yang sihat, akal yang cerdas, harta kekayaan, ilmu yang tinggi, bijaksana dalam pelbagai aspek dan sebagainya. Maka kita harus banyak bersyukur kepada Allah swt atas kurniaan itu berbanding orang lain yang tidak sampai ke tahap tersebut. Alhamdulillah.
Semoga Allah swt sentiasa memelihara kita dari sifat riak, takjub, ujub dan segala sifat mazmumah yang lain. Mudah-mudahan. Amiin.
Siti Fatimah Ahmad. 11 Mei 2011 (Rabu), 1.54 petang.Bintangor, Sarawak